Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Selasa,13 Januari. - Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi tadi mengadakan Majlis Pelancaran Buku Baharu yang bertajuk 'Ayat-ayat Al-Qu'ran Selaku Ruqyah (Jampi) dan Do'a Penyembuh' yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.
Hadir selaku tetamu-tetamu khas pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Timbalan Mufti Kerajaan, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Penolong-penolong Mufti, pengarah-pengarah serta pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan JMK.
Hadir sama, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Pengetua Pusat Sejarah Brunei, serta Yang Dipertua Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (Brunei Breast Cancer Support Group-BBCSG).
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Buhuth Kanan, JMK, Pengiran Zamiri bin Pengiran Haji Jamaluddin, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pentadbiran, JMK, Awang Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis.
Satu ucapan khas juga disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan, disusuli dengan acara kemuncak, iaitu pelancaran rasmi buku 'Ayat-ayat Al-Qu'ran Selaku Ruqyah (Jampi) dan Do'a Penyembuh'.
Pada majlis berkenaan juga, Yang Berhormat Mufti Kerajaan telah menyampaikan satu sesi tazkirah dan bedah buku bagi meningkatkan pemahaman terhadap kandungan buku berkenaan.
Dalam tazkirah dan bedah buku berkenaan, Yang Berhormat Mufti Kerajaan bersetuju dengan pendekatan Yang Berhormat Menteri Kesihatan, bahawa kesihatan tidak patut dilihat secara terpisah tetapi adalah seimbang antara jasmani, emosi, akal dan rohani, lalu amalan rukyah adalah merupakan ikhtiar ketuhanan untuk mengubati segala penyakit, khasnya penyakit mental.
Ini kata Yang Berhormat, dapat dibuktikan dari ayat-ayat Al-Quran sebagai rukyah (jampi) atau doa yang ada terakam dalam Al-Quran, sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Isra' ayat 82, tafsirnya : "Dan Kami turunkan dari Al-Quran sesuatu yang jadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Dan Al-Quran itu tiadalah menambah untuk orang-orang yang zalim kecuali kerugian jua."
Yang Berhormat juga turut mengongsikan beberapa contoh peristiwa di zaman Nabi dengan seorang sahabat menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai rukyah untuk mengubati seorang ketua kaum daripada bisa sengatan kala jengking dengan Surah Al-Fatihah dan setelah itu, ketua kaum itu pun sembuh dengan tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan dan hal itu Baginda Rasulullah mengakui Al-Fatihah adalah jampi (rukyah).
"Tidak diragukan lagi, rukyah dengan Al-Quran adalah ubat hebat. Kerana rukyah datangnya dari farmasi Allah. Tidak sama dengan ubat-ubatan biasa dari farmasi manusia. Siapakah yang boleh mengatasi ilmu Allah? Tidak ada," tegas Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat juga menceritakan peristiwa yang benar berlaku di negara ini, apabila seorang wanita tempatan yang juga merupakan penulis buku bertajuk 'Al-Quran Terapi Kanser Bersumberkan Ayat-ayat Suci Al-Quran' yang telah sembuh daripada penyakit kanser payudara.
"Saya melihat beliau adalah seorang yang sangat tabah, tidak pernah mengenal putus asa. Keyakinannya kuat, tidak pernah undur dari Allah. Jika Allah berkehendak dia sembuh, dia pasti sembuh. Itulah keyakinannya.
"Lalu atas asas ini, di samping menjalani perubatan moden, dia juga tidak mengabaikan rawatan ketuhanan, dengan doa-doa memohon rahmat. Dengan membaca Al-Quran dan minum air 'betawari'.
"Akhirnya dengan kehendak Allah serta yakin dan konsisten menjampi diri dengan Al-Quran, maka Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin telah sembuh dari kanser, sembuh yang amat menakjubkan.
"Tahun 2011 diserang kanser, sehingga sekarang sudah 15 tahun setelah sembuh, beliau tetap sihat dan aktif dengan kerja-kerja kebajikan," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat selanjutnya berkata, perkara yang sama pernah berlaku kepada seorang wanita warga Maghribi yang menderita penyakit barah setelah berjumpa dengan ramai doktor namun mereka gagal merawatnya, malah tempoh hayatnya pun sudah diramal cuma tinggal dalam hitungan hari sahaja.
Dalam keadaan tidak ada lagi harapan tambah Yang Berhormat, tiba-tiba dia teringat untuk melakukan umrah. Maka dia pun bertolak ke Mekah. Di Mekah, dia duduk di Masjid al-Haram beriktikaf dan memenuhkan masanya dengan membaca banyak-banyak Al-Quran, sambil berpuasa dan bersungkai dengan air zam-zam.
Menurut pengarang buku 'Rawat Dirimu Dengan Al-Quran', kata Yang Berhormat lagi, wanita Maghribi berkenaan, setelah melakukan perkara tersebut hampir sebulan, maka dengan tiba-tiba dia merasakan ada perubahan ganjil pada dirinya. Dia berasa dia kuat, bertenaga dan cergas. Lalu dia pun pergi ke doktor minta diperiksa dan alangkah terkejut besar dia, apabila diberitahu bahawa dia adalah bersih atau bebas dari barah, dalam makna dia telah sembuh.
Seterusnya Yang Berhormat berkongsi, diceritakan sekitar 790 tahun yang lampau, mengenai seorang ulama amat masyhur, al-Imam Ibnul Qayyim al-Jawziyyah Rahimahullah telah bercerita mengenai dirinya yang jatuh sakit serta tidak mampu untuk mendapatkan doktor mahupun ubat, lalu beliau berubat sahaja dengan ayat-ayat Al-Quran dengan membacakan ayat-ayat Quran ke atas air zam-zam, kemudian beliau minum sehingga beliau beroleh kesembuhan, dan pada kebanyakan penyakit beliau hanya berubat dengan Al-Quran.
"Contoh lain berlaku sekitar 1050 tahun yang lampau, Asy-Syeikh Abul Qasim al-Qusyairi Rahimahullah telah menceritakan tentang anaknya yang sakit sehingga beliau mengalami tekanan perasaan amat berat. Namun, setelah bermimpi bertemu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan dia pun mengadu kepada Baginda, lalu Baginda bersabda kepadanya tentang ayat-ayat Asy-Syifa (Ayat-ayat Penyembuh).
"Setelah beliau terjaga, dia pun merujuk Al-Quran mencari ayat-ayat asy-Syifa yang ada enam tempat semuanya di dalam Al-Quran, lalu beliau menulis ayat-ayat tersebut di kertas dan merendamnya di air dan diberikan minum kepada anaknya, dan anaknya telah sembuh dengan serta merta.
"Justeru melalui beberapa contoh peristiwa tersebut, saya percaya ia mampu memberikan kefahaman bahawa rukyah (jampi) dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa adalah tidak boleh disangkal lagi keberkatan dan kemujarabannya.
"Berdasarkan inilah, saya terpanggil untuk menulis buku kecil bertajuk 'Ayat-ayat Al-Qu'ran Selaku Ruqyah (Jampi) dan Do'a Penyembuh'. Saya tegaskan, buku ini jauh sekali dari lengkap. Ia cuma, baru sekadar untuk menggamit kesedaran melakukan rukyah, di samping sedia lazim kita berawat dengan perubatan moden," ujar Yang Berhormat.
Dalam makna berkenaan, Yang Berhormat amat mendukung hasrat raja dalam titah baginda bersempena Sambutan Israk dan Mikraj Tahun 2024 bahawa baginda mengingatkan supaya kesihatan mental terus dijaga, bukan setakat merawat dengan rawatan biasa yang sedia ada, tetapi baginda juga mahu ialah rawatan bersepadu iaitu rawatan cara Islam.
Majlis diteruskan dengan penyampaian wakaf buku yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan, dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Pengiran Zamiri.