Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
TELANAI, Isnin, 12 Januari. - Sesi dialog antara Infocom Federation Brunei (IFB) bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah diadakan pagi tadi, bertujuan untuk memperkukuh hala tuju sektor infokomunikasi di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Antara yang hadir dalam sesi dialog berkenaan, Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof; dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.
Manakala pihak IFB diwakili oleh Naib Pengerusi (Vice Chairman) IFB, Awang Haji Mohammad Radziman bin Haji Abd. Rahman; dan Timbalan Pengerusi Industri IFB, Dr. Yong Chee Tuan.
Sesi dialog berkenaan berfungsi sebagai platform strategik bagi IFB untuk memberi taklimat kepada Ahli-ahli MMN mengenai status semasa serta rancangan masa depan sektor infokomunikasi negara.
Selain itu, ia juga bertujuan menyelaraskan strategi digital negara dengan visi Wawasan Brunei 2035, dengan penekanan terhadap infrastruktur digital, keselamatan siber, dan keupayaan digital sebagai tunjang kemajuan negara.
Dalam sesi berkenaan, IFB menegaskan komitmen mereka terhadap akauntabiliti, ketahanan, dan kepentingan jangka panjang negara. Selain itu, dialog berkenaan juga menjadi medium untuk berkongsi maklumat terkini mengenai inisiatif digital, membincangkan cabaran semasa sektor berkenaan, serta menggariskan tindakan tegas yang sedang dijalankan bagi memperkukuh landskap infokomunikasi NBD.
Selain itu, IFB menekankan kepentingan penglibatan secara kolaboratif antara sektor awam dan swasta. Melalui dialog bersama Ahli-ahli MMN, pihak berkepentingan berpeluang menyuarakan kebimbangan serta pandangan mereka terus kepada pembuat dasar. Sesi berkenaan juga menyediakan ruang untuk membincangkan proses perundangan, keutamaan negara, serta penyelesaian praktikal terhadap isu-isu yang memberi impak kepada komuniti dan industri, sejajar dengan usaha memajukan ekonomi digital negara.
Pada masa yang sama, inisiatif berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kerjasama strategik dalam memajukan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) NBD, sambil meneroka peluang dan projek masa depan yang menyokong hala tuju pembangunan negara.