16 belia ikuti SSEAYP Ke-49



​​

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BERAKAS, Isnin, 12 Januari. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) akan menghantar seramai 16 belia dan seorang ketua delegasi (National Leader) bagi mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) Ke-49 selama 35 hari, bermula pada 14 Januari hingga 17 Februari 2026 di Tokyo, Jepun.


Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada delegasi NBD ke SSEAYP 49 diadakan bertempat di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera negara berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.


Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Mohammad Hazwan Nizam bin Ibrahim, diikuti dengan ucapan oleh tetamu kehormat majlis.


Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera NBD disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Awang Ibrahim bin Sabli selaku ketua delegasi NBD Ke SSEAYP 49 dan diselajurkan dengan penyerahan tiket penerbangan kepada ketua delegasi oleh Deputy Chief of Mission / Counsellor dari Kedutaan Jepun di NBD, Miura Keiko.


Majlis turut menyaksikan ikrar daripada delegasi NBD dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis.


Delegasi NBD terdiri daripada lapan lelaki dan lapan perempuan berumur antara 18 hingga 30 tahun, diketuai oleh seorang Ketua Belia, Awang Muhammad Irham bin Awang Roslan, dan seorang Penolong Ketua Belia, Dayang Berlyanna Indah Yordhana binti Jefry.


Sebanyak enam tajuk utama akan dibincangkan semasa program dijalankan nanti, iaitu Quality Education, Economic Growth and Sustainable & Responsible Tourism, Global Environment and Climate Change, Disaster Risk Reduction and Recovery, Social Welfare and Inclusion, dan Digital Society and AI.


Tema perbincangan berkenaan dipilih daripada Implementation Plan of the Joint Vision Statement on ASEAN-Japan Friendship and Cooperation Trusted Partners yang diterima pakai dalam Sidang Kemuncak Bagi Memperingati Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun pada 17 Disember 2023 di Tokyo, Jepun.


Program pada edisinya kali ini akan membuat persinggahan ke dua buah negara, iaitu Thailand dan Republik Singapura, dengan pengisian program termasuk pertemuan bersama pembesar negara, program tinggal bersama keluarga angkat, sesi interaksi bersama peserta tempatan, kajian lapangan dan banyak lagi.


Program antara lain bertujuan untuk mempromosi persahabatan dan persefahaman bersama dalam kalangan belia Jepun dan Negara Anggota ASEAN khususnya NBD, selain dapat meluaskan perspektif para belia tentang dunia, dan seterusnya mengukuhkan semangat kerjasama antarabangsa dan kemahiran praktikal para belia untuk kerjasama antarabangsa.


Hasilnya, ia diharapkan dapat memupuk pemimpin generasi pelapis yang berkemampuan untuk menggunakan kemahiran kepimpinan dalam pelbagai bidang dalam masyarakat globalisasi 

Close