Pertukaran pelbagai budaya, perspektif baharu



​​​

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BERAKAS, Isnin, 12 Januari. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) kekal komited dalam melahirkan belia yang berdaya tahan, berwibawa dan berfikiran global.


Penyertaan dalam program belia antarabangsa seperti Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) adalah selaras dengan agenda pembangunan belia negara, khususnya dalam memperkukuh keupayaan kepimpinan, memupuk kecekapan antara budaya, serta menanamkan rasa tanggungjawab serantau yang kukuh.


Perkara demikian dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke SSEAYP Ke-49 berlangsung di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.


"Sebagai duta NBD, saya menyeru awda semua untuk sentiasa menjunjung tinggi tahap disiplin, integriti dan tatakelakuan yang tertinggi.


"Biarlah setiap tindakan awda mencerminkan nilai-nilai hormat-menghormati, toleransi dan kerjasama yang menjadi teras jati diri negara kita.


"Berbanggalah untuk berkongsi budaya, pencapaian dan aspirasi NBD, di samping bersikap terbuka untuk mempelajari kepelbagaian budaya dan perspektif yang akan awda temui," ujar Yang Berhormat.


Terdahulu, Yang Berhormat menjelaskan, sejak penubuhannya pada 1974, SSEAYP menjadi salah satu inisiatif pertukaran belia berprestij yang menghimpunkan pemimpin muda dari Asia Tenggara dan Jepun.


NBD tambah Yang Berhormat, menjadi peserta aktif dalam program berprestij berkenaan sejak 1985, dan sepanjang tempoh tersebut, para belia kita telah banyak memperoleh manfaat daripada platform berkenaan.


"Kepada para delegasi, pemilihan awda untuk mewakili NBD bukan sahaja merupakan satu pencapaian peribadi, malah satu amanah negara. Awda telah dipilih berdasarkan potensi kepimpinan, sahsiah diri, serta komitmen untuk menyumbang secara bermakna di peringkat kebangsaan dan serantau.


"Apabila awda menerima bendera negara pada hari ini, awda memikul tanggungjawab untuk membawa bersama nilai-nilai, budaya dan identiti negara tercinta kita," kata Yang Berhormat.


Sepanjang program berkenaan jelas Yang Berhormat lagi, para delegasi akan terlibat dalam perbincangan mengenai isu-isu serantau dan global, menyertai pertukaran budaya, aktiviti penglibatan komuniti, serta sesi pembangunan kepimpinan.


Oleh itu, Yang Berhormat amat menggalakkan para delegasi untuk merebut setiap peluang, belajar daripada orang lain, berkongsi pandangan, serta membina persahabatan dan jaringan yang berkekalan dengan rakan belia dari Negara-negara Anggota ASEAN dan Jepun.


Yang Berhormat seterusnya berkata, pengalaman berkenaan akan meluaskan perspektif mereka dan memperkukuh keupayaan untuk menyumbang secara berkesan kepada masyarakat sekembalinya mereka nanti.

Close