Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
TUTONG, Jumaat, 9 Januari. - Dengan keberkatan dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala, seorang anggota Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) hari ini memilih Islam sebagai pegangan hidupnya yang baharu dalam satu Majlis Pengislaman yang diadakan di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, di sini.
Sarjan (U) Patra bin Kunchil dari Survival Equipment Flight, Skuadron 560, Cawangan No. 5, Kumpulan Bantu, TUDB, kini dikenali sebagai Sarjan (Udara) Muhammad Patra bin Kunchil.
Hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong; Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman; Ketua Kampung RPN Bukit Beruang, Awang Azman bin Haji Ismail; pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai dari PDI, anggota-anggota Kementerian Pertahanan dan kaum keluarga saudara baharu berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Al-Mu'minun ayat satu hingga ayat 11, yang dibacakan oleh Soldadu (U) Masrur Fu'ad bin Haji Asmat dari Survival Equipment Flight, Skuadron 560, Cawangan No. 5, Kumpulan Bantu, TUDB.
Seterusnya, Sarjan (U) Patra melafazkan dua kalimah syahadah yang dibimbing oleh pegawai dari PDI Daerah Tutong.
Majlis kemudiannya disemarakkan lagi dengan laungan Takbir sebanyak tiga kali, diikuti dengan Doa Pengislaman yang dibacakan oleh Pegawai Turus, Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Mejar Narul Ismandy bin Haji Samaih, dan diteruskan dengan Dikir Marhaban yang diiringi dengan menabur bunga rampai.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Timbalan Pemerintah ABDB kepada Sarjan (U) Muhammad Patra, diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta sesi bergambar ramai.