Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hasif Matzin
TANAH JAMBU, Jumaat, 9 Januari. – Seramai 146 pelajar yang terdiri daripada anak-anak pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menerima anugerah kecemerlangan dan penghargaan pada Majlis Penganugerahan Anak-anak Cemerlang ABDB bagi tahun 2025 di Auditorium Akademi Pertahanan ABDB, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Turut hadir ialah Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, Pegawai-pegawai Kanan, serta para ibu bapa dan penjaga penerima-penerima anugerah.
Para penerima telah menerima anugerah kecemerlangan dan penghargaan dalam bentuk sijil dan hadiah sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan International Baccalaureate (IB), General Certificate Education (GCE) 'A' Level, GCE 'O' Level, Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), Sijil Pelajaran Tinggi Ugama Brunei (SPTUB), Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).
Selain daripada menerima sijil dan hadiah daripada pihak ABDB, para penerima anugerah juga menerima hadiah tajaan daripada Bank Islam Brunei Darussalam, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sendirian Berhad, Imagine Sendirian Berhad, Perusahaan Bismi dan Samima Sendirian Berhad.
Majlis tersebut adalah bagi meraikan pencapaian akademik anak-anak pegawai dan anggota ABDB bagi tahun 2025, dan merupakan acara tahunan yang diadakan bertujuan untuk merakamkan penghargaan kepada anak-anak pegawai dan anggota ABDB yang telah mencapai keputusan akademik yang cemerlang.
Di samping itu, ia juga menggalakkan mereka untuk terus berusaha mengekalkan prestasi kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Penganugerahan ini juga sebagai galakan kepada pegawai dan anggota ABDB untuk kekal komited dalam memeduli dan menyokong pendidikan anak-anak, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing.