Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Januari. - Kegagalan adalah didikan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala yang bermaksud : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedangkan ia baik bagi kamu." (Surah Al-Baqarah : 216).
Ayat berkenaan mengingatkan kita bahawa kegagalan bukan penolakan Allah, tetapi didikan penuh hikmah. Manakala, berjaya itu ujian. Firman Allah Subhanahu Wata'ala yang bererti : "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia." (Surah Al-Qasas : 77).
Perkara berkenaan antara yang diingatkan melalui tazkirah bertajuk 'Gagal Itu Didikan, Berjaya Itu Ujian, dan Usaha Itu Ibadah' yang disampaikan oleh Guru Sekolah Ugama Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Mumong, Belait, Awang Nordin bin Ajmain, bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-214 bersempena pembukaan sekolah penggal baharu tahun 2026.
Jelasnya, ayat berkenaan mengingatkan kita bahawa nikmat kejayaan bukan untuk dibanggakan, tetapi untuk dipertanggungjawabkan. Kejayaan sepatutnya mendekatkan kita kepada akhirat, bukan menjauhkan kita daripada Allah.
Sementara itu tambahnya, usaha itu ibadah, iaitu apabila pelajar memahami bahawa belajar itu ibadah, mereka akan belajar dengan sungguh-sungguh. Apabila guru memahami bahawa mengajar itu ibadah, mereka akan mendidik dengan penuh amanah dan kasih sayang.
Di sinilah katanya lagi, lahirnya keberkatan dalam pendidikan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala yang bermaksud : "Dan bahawa sesungguhnya manusia tidak memperoleh selain apa yang diusahakannya." (Surah An-Najm : 39).
"Ayat ini mengingatkan bahawa apabila usaha difahami sebagai ibadah, setiap tugasan, peluh dan kesabaran menjadi bernilai di sisi Allah Subhanahu Wata'ala," ujarnya.
Turut mengimarahkan lagi acara Munajat Khas berkenaan ialah guru-guru dan murid-murid dari sekolah-sekolah ugama dan Arab seluruh negara. Juga, warga kerja di bawah KHEU dan individu secara maya.
Acara Munajat Khas berkenaan dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengetua Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SHHB), Rimba, Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd. Noor, dari surau Sekolah Arab SHHB, Rimba.
Diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Mentiri (Petang), Awang Ashizal bin Zainal Abidin.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Mulaut (Petang), Awang Haji Mohd. Rudzaini bin Haji Mohamad.
Selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Zikir Maghfirah Warrahmah beramai-ramai dipimpin oleh Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama Lamunin, Tutong, Awang Abang Hariz bin Abang Hadzman.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam (NBD) dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Arab Temburong, Awang Haji Asri bin Haji Timbang.
Acara Munajat anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar NBD dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala mushibah dan penyakit berbahaya.