Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Tanah
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 31 Disember. - Jabatan Tanah ingin memperingatkan kepada orang ramai khususnya pemilik-pemilik tanah yang berdaftar bahawa, adalah menjadi tanggungjawab bagi pemilik-pemilik tanah yang berdaftar untuk sentiasa menjelaskan bayaran cukai tanah setiap tahun sepertimana yang terkandung di dalam Kanun Tanah Penggal 40.
Sehubungan dengan ini, orang ramai juga dikehendaki untuk menjelaskan sebarang tunggakan cukai tahunan tanah mereka, jika ada.
Pembayaran bolehlah dibuat melalui kaunter pembayaran di setiap Pejabat Tanah Daerah sewaktu operasi, iaitu pada Isnin hingga Khamis, bermula jam 08.00 pagi hingga 11.15 pagi dan 1.30 petang hingga 2.30 petang. Manakala pada Sabtu, bermula jam 8.00 pagi hingga 10.30 pagi dan 1.30 petang hingga 2.30 petang.
Pembayaran menggunakan cek (cheque), hanya akan dapat diterima pada waktu pagi.
Pembayaran juga boleh dibuat secara dalam talian, iaitu melalui aplikasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) Mobile App.
Bagi pemegang tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS), pembayaran lesen tahunan hanya boleh di buat di Kaunter Pembayaran di setiap Pejabat Tanah Daerah.
Maklumat lanjut untuk mengetahui jumlah tunggakan dan tatacara membuat pembayaran melalui BIBD, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Tanah di 'www.land.gov.bn' atau Instagram rasmi jabatan melalui akaun '@jabatantanah.bn'.