Siaran Akhbar : Syarikat PosBru Sendirian Berhad
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 31 Disember. - Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) telah dikorporatkan menjadi Syarikat PosBru Sendirian Berhad (PosBru) berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Kesemua perkhidmatan pos di bawah kawalan JPP kini dipindahkan sepenuhnya kepada PosBru, iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Syarikat Darussalam Assets Sendirian Berhad (Darussalam Assets), dan akan beroperasi sebagai 'Public Postal Licensee' di bawah kawalan selia Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI).
Sebagai pentadbiran pos Negara Brunei Darussalam di bawah naungan Kesatuan Pos Sedunia, PosBru akan terus menyediakan perkhidmatan pos yang menyeluruh kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, PosBru berhasrat untuk muncul sebagai sebuah syarikat yang berdaya saing, mampan dan komited dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, serta memenuhi keperluan pelanggan secara profesional.
PosBru juga akan terus memperkukuh usaha pengubahsuaian berterusan demi menjana perubahan positif kepada kehidupan masyarakat melalui industri perkhidmatan pos dan bungkusan ('parcel'), sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
Selaras dengan langkah pengkorporatan ini, PosBru ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kadar perkhidmatan pos bagi surat dan 'parcel' akan dikekalkan tanpa sebarang perubahan.
Semua perkhidmatan dan operasi di cawangan-cawangan PosBru sedia ada akan diteruskan seperti biasa, dan proses peralihan tidak akan menjejaskan perkhidmatan sedia ada serta urusan harian dengan orang ramai.
Selain itu, proses revitalisasi kesemua cawangan PosBru, yang merangkumi penjenamaan semula serta penambahbaikan reka bentuk dalaman, akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi harian berjalan lancar serta menjamin peralihan yang efisien tanpa gangguan besar kepada pelanggan dan penyewa.
Hari urus niaga cawangan-cawangan PosBru adalah pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu, manakala cawangan ditutup pada hari Jumaat, Ahad dan cuti umum.
Jam urus niaga bagi BSB General Post Office, serta Pejabat Pos cawangan Rimba, Bunut, Limau Manis, Lumapas, Salambigar, Telisai, Lamunin dan Bangar adalah dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 1.30 petang hingga 3.00 petang, manakala pada bulan Ramadan dari 8.15 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Sementara itu, bagi Mail Processing Centre (MPC) serta Pejabat Pos cawangan Gadong, Seri Kompleks, Muara, Sengkurong, Tutong, Seria, Mumong dan Lumut, akan beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 3.00 petang, dan pada bulan Ramadan dari 8.15 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan dan tawaran PosBru, orang ramai boleh menghubungi pihak PosBru melalui e-mel di 'feedback@posbru.com.bn', laman sesawang rasmi www.posbru.com.bn atau media sosial PosBru di Facebook, Instagram, dan TikTok melalui '@PosBru.bn'.