Bantu meringankan beban mangsa bencana




Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pembangunan Masyarakat





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 31 Disember. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah keseluruhan BND9,625 kepada lapan orang ketua keluarga.


Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS, di sini.


Daripada lapan ketua keluarga yang menerima bantuan kewangan hari ini, seramai empat ketua keluarga adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran, dua ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah roboh, seorang ketua keluarga terlibat dalam angin kencang dan seorang ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir.


Sementara itu, seorang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran telah diberikan bantuan keperluan asasi dan catuan makanan.


Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana berkenaan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.


Pemberian bantuan kewangan berkenaan adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga.


Usaha berkenaan menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.


Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana, Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh.

Close