Doa Kesyukuran raikan kepulangan 29 anggota ABDB



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman/ Foto : Mohammad Hasif Matzin






BOLKIAH GARISON, Jumaat, 26 Disember. - Satu Majlis Doa Kesyukuran diadakan di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison, hari ini bagi meraikan kepulangan seramai 29 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah menyertai misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Lubnan (UNIFIL) sebagai sebahagian daripada Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12.


Kontinjen tersebut, yang diketuai oleh Mejar Pengiran Muhammad Syahir Fadillah bin Pengiran Salleh, terdiri daripada tiga pegawai, 26 anggota lain-lain peringkat, termasuk dua anggota askar wanita yang kesemuanya berjaya menamatkan penugasan selama setahun dan kembali dengan selamat ke Negara Brunei Darussalam (NBD) pada 5 Disember 2025.


Hadir bagi menyempurnakan majlis tersebut dan menyampaikan sijil penyertaan kepada anggota kontinjen ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Turut hadir, Pemangku Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim; Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di NBD, Tuan Abdul Munir Lufti bin Said; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB; wakil-wakil daripada Pasukan Polis Diraja Brunei serta Pejabat Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke NBD; para pegawai dan staf Kementerian Pertahanan serta ahli-ahli keluarga anggota yang menyertai misi pengaman tersebut. 


Majlis tersebut turut diisikan dengan penyampaian tazkirah bertajuk 'Taddabur Surah Al-Fath: Kemenangan yang hakiki' disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Mohammad Rif'at Atiyah bin Anwari.


Pada bulan November yang lalu, Upacara Perbarisan Serah Terima Tugas antara Komander MALBATT 850-12 dan MALBATT 850-13 telah diadakan dengan disaksikan oleh Pemerintah ABDB dan Yang Berbahagia Panglima Angkatan Tentera, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Perbarisan Serah Terima Autoriti (Transfer of Authority) antara kedua-dua kontinjen turut diadakan dan dihadiri oleh Pemerintah Angkatan Bersama ATM dan Pemerintah Angkatan Bersama ABDB. Kedua-dua upacara tersebut telah berlangsung di UNP-21, Kem Marakah, Selatan Lubnan.

 

Sepanjang tempoh penugasan tersebut, seorang anggota ABDB, Staf Sarjan Razian bin Hanip telah dianugerahkan Sijil Pengiktirafan dan Kepujian sebagai pengiktirafan atas tatakelakuan terpuji, keberanian dan ketabahan beliau selepas terlibat dalam serangan udara Israel Defense Forces.


Profesionalisme dan komitmen teguh beliau terhadap tugas sepanjang insiden tersebut mencerminkan piawaian profesionalisme dan keberanian yang tinggi yang dijunjung oleh anggota ABDB yang berkhidmat di bawah UNIFIL.


Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan lanjutan mandat UNIFIL sehingga 31 Disember 2026. 


Susulan itu, misi tersebut akan memasuki fasa pengunduran secara berperingkat dan teratur dalam tempoh satu tahun dengan kerjasama penuh daripada Kerajaan Lubnan.


Sejak tahun 2008, seramai 485 anggota ABDB termasuk penugasan terkini di bawah MALBATT 850-13 telah berkhidmat di bawah misi UNIFIL.


NBD kekal teguh dengan komitmennya dalam menyokong usaha pengamanan yang menyumbang kepada keamanan serantau dan sejagat.


Close