Majlis penghargaan raikan komitmen, sumbangan sukarelawan CYSEC 2025





Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Keselamatan Siber Brunei




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 November. - Persatuan Keselamatan Siber Brunei (BCSA) menganjurkan Majlis Malam Penghargaan Persidangan Keselamatan Siber Brunei (CYSEC) 2025 bagi memberi pengiktirafan terhadap komitmen dan sumbangan sukarelawan CYSEC 2024 dan 2025, selain menonjolkan peranan mereka dalam memajukan inisiatif keselamatan siber di seluruh rantau.


Majlis tersebut berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara.


Pada majlis itu, Naib Presiden CYSEC, Awang Azizul Hasrin, dalam ucapan alu-aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap kerja keras dan sumbangan para sukarelawan. 


Beliau menekankan mengenai kepentingan usaha setiap sukarelawan yang bukan sahaja meningkatkan kejayaan inisiatif CYSEC, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membina ekosistem keselamatan siber yang lebih kukuh.


Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah istimewa yang mengiktiraf individu cemerlang atas sumbangan luar biasa mereka, iaitu Dayang Zara Laila Cheong yang menerima anugerah 'Top Women in Security ASEAN Region Awards 2025'; dan Awang Azizul Hasrin, penerima anugerah 'AJCCA Cyber Resilience Award'.


Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para sukarelawan sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan dan dedikasi mereka yang berterusan. 


Bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Muizzuddin Mahdi.

 

Close