Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sendirian Berhad
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Disember. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. menganjurkan Majlis Makan Malam Penghargaan Tahunan bagi meraikan para pekerja, pihak berkepentingan dan tetamu syarikat berkenaan, di Setia Point, di sini, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi ll, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh tetamu kehormat, disusuli dengan ucapan Pengerusi Zhejiang Hengyi Group Co. Ltd. dan Hengyi Industries Sdn. Bhd., Qiu Jianlin; serta Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries Sdn. Bhd., Chen Lian Cai.
Dalam ucapan-ucapan tersebut, mereka antara lain merakamkan penghargaan terhadap tenaga kerja syarikat berkenaan, mengimbas kembali pencapaian utama syarikat serta meneguhkan lagi aspirasi Hengyi Industries bagi perkembangan berterusan dan kecemerlangan industri.
Bertemakan 'Hollywood Nights: The Hengyi Edition', majlis makan malam pada tahun ini meraikan enam tahun kejayaan operasi Hengyi Industries serta kekuatan dan dedikasi tenaga kerjanya.
Majlis diteruskan dengan penyampaian beberapa anugerah bagi mengiktiraf para pekerja atas komitmen, pencapaian cemerlang dan sumbangan jangka panjang mereka.
Anugerah tersebut termasuk Anugerah Perkhidmatan 10 Tahun yang diserahkan kepada enam penerima; Anugerah Pekerja Terbaik 2025 disampaikan kepada 10 penerima; dan Anugerah Kumpulan Terbaik diberikan kepada lima pasukan.
Juga menerima anugerah, para pemenang Pertandingan Kemahiran 2025 dan Unit Penghasilan Keselamatan Cemerlang.
Majlis turut diserikan dengan persembahan yang mempamerkan bakat para kakitangan Hengyi Industries, juga pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, serta anugerah Pakaian Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Majlis makan malam penghargaan berkenaan diadakan setiap tahun sejak 2023 bagi menghargai kakitangan Hengyi Industries, selain mengiktiraf kerja keras, dedikasi, dan komitmen bersama mereka terhadap kemajuan syarikat.
Sumbangan mereka terus mendorong Hengyi Industries bagi meraih visi syarikat untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pembangunan petrokimia melalui inovasi berterusan dan kelestarian perniagaan jangka panjang.