Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Sabtu, 6 Disember. - Awang Eddy Iswanndy Ismail bin Imran dan Awang Muhamad Izan Safree bin Radat masing-masing muncul juara bagi Kategori Permata dan Kategori Mekar pada Program 'OKU Serlahkan Bakatmu' (OKU Got Talent) 2025 sempena Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) pada tahun ini.
Tempat kedua bagi Kategori Permata disandang oleh Awang Mohammad Rozyman bin Norman, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Awang Muhammad Rafiq Irfan bin Mohamad Affendy.
Bagi kategori 'Mekar', Dayangku Soffiezah binti Pengiran Haji Abu Bakar meraih tempat kedua, sementara Dayang Safarinah binti Hashim memenangi tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.
Juara bagi kategori 'Permata' (25 tahun ke bawah) dan 'Mekar' (26 tahun ke atas) masing-masing menerima hadiah piala, sijil penyertaan, wang tunai berjumlah BND2,000 dan kelas bimbingan sepanjang hayat ('lifetime monitoring class').
Tempat kedua, menerima piala, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah BND1,000 serta kelas bimbingan sepanjang hayat ('lifetime monitoring class').
Manakala, tempat ketiga menerima piala, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah BND500.
Acara kemuncak program yang berlangsung di Aras Bawah, Pusat Membeli-belah Times Square ini dimulakan dengan tayangan istimewa lagu tema rasmi program, 'Serlahkan Bakatmu', diikuti dengan persembahan pembukaan oleh Awang Jamary bin Dangat, seorang OKU Penglihatan dengan judul lagu 'Kampung Ayer'.
Seterusnya, pengumuman pemenang bagi kategori Permata (25 tahun ke bawah), yang juga dipelawa sekali lagi untuk membuat persembahan.
Sejurus selepas itu, acara diserikan dengan persembahan nyanyian solo daripada Awang Alimi bin Haji Awang Mahli, seorang OKU Anggota dengan lagu 'Salam Kasihku' dan seterusnya pengumuman pemenang bagi kategori Permata, yang turut dipelawa untuk membuat persembahan.
Acara berkenaan dimeriahkan dengan persembahan nyanyian duet daripada Awang Jamary bin Dangat dan Dayang Hasrina binti Haji Pancha, kedua-duanya OKU Penglihatan dengan lagu 'Pandang-Pandang Jeling-Jeling'.
Acara diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada para hakim, penaja dan para penyanyi undangan, dan seterusnya penyampaian hadiah kepada para peserta.
Di samping itu, acara mengetengahkan pameran-pameran dari Pusat Bahagia dan Ahli-ahli Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU).
Program OKU Got Talent ini telah banyak menerima pelbagai maklum balas positif daripada orang ramai dan para juri.
Para peserta sangat menonjol dengan bakat mereka yang pelbagai dan persembahan yang mengagumkan.
Sokongan padu daripada keluarga peserta turut terserlah, sekali gus menyemarakkan suasana yang penuh inspirasi sepanjang acara tersebut.
Turut hadir, pegawai-pegawai kanan KKBS, MKOKU, Persatuan-persatuan Bukan Kerajaan (NGO), para penaja dan rakan-rakan strategik KKBS.