86 pelajar terima sumbangan keperluan sekolah




Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami






KIULAP, Sabtu, 6 Disember. - Al-Afiah Hotel dan Café Al-Afiah telah menganjurkan Majlis Penyampaian dan Sumbangan Derma bagi Keperluan Persediaan Persekolahan Sesi Tahun 2026 kepada 86 pelajar sekolah dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan di negara ini berlangsung di hotel berkenaan, petang tadi.


Para penerima sumbangan derma berupa wang tunai dan baucar itu terdiri daripada 35 orang yang berdaftar di bawah pengendalian Perkhidmatan Kebajikan Perubatan (Medical Social Work) Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS); 20 orang yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); 15 orang yang berdaftar di bawah Aftercare Support Association (AFSA); tujuh orang anak-anak yatim dari Kampung Kiulap; empat orang kanak-kanak dari Sekolah Riverside Cawangan Sungai Matan dan Masin dan lima orang kanak-kanak daripada keluarga kakitangan Al-Afiah Hotel.


Sehubungan itu, antara yang hadir bagi menyempurnakan sesi penyampaian sumbangan derma berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang juga selaku Pengerusi Al-Afiah Hotel dan Pengarah Urusan Yusof dan Aminah Properties.


Semasa menyampaikan ucapan di majlis berkenaan, Yang Berhormat Ahli MMN antaranya menyatakan dengan adanya sumbangan derma berkenaan diharap dapat meringankan beban golongan keluarga yang kurang berkemampuan bagi keperluan persediaan peralatan dan pakaian persekolahan anak-anak mereka bagi sesi tahun 2026.


Ini juga dihasrat untuk membantu dan menjamin golongan kanak-kanak yang menerima sumbangan itu ke arah meneruskan pembelajaran persekolahan mereka masing-masing sekali gus memastikan kehidupan yang lebih cerah pada masa akan datang.


Majlis ini merupakan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan yang diadakan secara tahunan anjuran Al-Afiah Hotel dan Café Al-Afiah.


Close