AKP RTB 2025 hargai kreativiti penerbit dalam penyiaran





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 6 Disember. - Dalam usaha untuk memberi pengiktirafan terhadap kreativiti para penerbit dalam bidang penyiaran dan media negara, Radio Televisyen Brunei (RTB) telah menganjurkan Anugerah Karya Penyiaran (AKP) RTB 2025 bertempat di Dewan Teater, Jabatan Perdana Menteri (JPM), malam tadi. 


Pada acara ini, sebanyak 37 anugerah disampaikan di bawah tujuh bidang kategori utama iaitu Kategori Perkhidmatan Sokongan, Kategori Penerbitan TV, Kategori Penerbitan Radio, Kategori Penerbitan Berita, Kategori Penerbitan Media Digital, Kategori Popular dan Kategori Anugerah Khas. Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan anugerah khas iaitu Anugerah Bakti Penyiaran ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.


Penerima Anugerah Bakti Penyiaran ialah Awang Haji Md. Hussain bin Abdul Rahman, yang merupakan mantan Pegawai Kanan RTB.


Sementara itu, penerima Anugerah Insan Seni ialah Dayang Hajah Rabiah binti Puteh atau lebih dikenali sebagai Dang Limah.


Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali, yang juga menyampaikan anugerah.


Para penerima bagi kategori lain ialah Kurnia One yang diumumkan sebagai penerima anugerah Suntingan Terbaik (Bukan Drama) melalui Kid Sinar Special Edition bagi Kategori Perkhidmatan Sokongan. Dayang Salmah binti Ismail menerima anugerah Penataan Bunyi Terbaik (Studio) bagi Chit Chat Cafe Episod 2. Manakala Awang Md. Jafrind bin Haji Japar dianugerahkan Penataan Cahaya Terbaik melalui Anugerah Express E-Hits 2022.


Pengiktirafan Montaj TV Terbaik dan Grafik TV Terbaik diraih oleh Awang Md. Ariffin bin Haji Metussin dan Awang Md. Rayyan Reyza bin Abdullah Then melalui Permaisuri Saleha.


Anugerah Set TV Terbaik diberikan kepada Dayangku Siti Nurbainun binti Pengiran Lutfi bagi Anugerah Pelangi 7, manakala Awang Haji Muhammad Azizi bin Awang Ahmad menerima Mojo Terbaik melalui Seperti Mati Hidup Semula.


Kategori Perkhidmatan Sokongan ditutup dengan kemenangan Awang Al-Fayyadh bin Metusin dan Awang Md. Ariffin bin Haji Metussin bagi Promo TV Terbaik melalui Asmaul Husna 2021, manakala Dayang Norhaffydzah binti Lamat menerima anugerah Promo Radio Terbaik melalui Selera Ramadan.


Bagi Kategori Penerbitan TV, Dayang Hajah Masmahirah binti Haji Md. Tali menerima anugerah Rancangan Kanak-Kanak TV Terbaik melalui Geng 7 Puak, manakala Dayang Hajah Hanifu Norhafizah binti Mohd. Salleh menerima anugerah Rancangan Bual Bicara TV Terbaik bagi Bicara Semasa: Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok.


Dayang Nurain binti Abdullah dari Regalblue Production dinobatkan sebagai pemenang Rancangan Drama TV Terbaik melalui Aku Calikah?, manakala Dayang Siti Alizah binti Haji Bagol menerima anugerah Rancangan Dokumentari/Majalah TV Terbaik melalui Aduh Panya Episod 1 - Semut Gandang.


Anugerah Rancangan Hiburan TV Terbaik diberikan kepada Awang Mohd. Hirwan bin Ibrahim untuk Chit Chat Cafe Episod 2, dan Awang Amirul Jazli bin Jali menerima anugerah Rancangan Realiti TV Terbaik bagi Wee Fishing Episod 3.


Awang Al-Fayyadh bin Metusin dianugerahkan Rancangan Dakwah TV Terbaik menerusi Dirikan Solat. Manakala Dayang Nurain binti Abdullah dari Regalblue Production turut memenangi anugerah Pesanan Khidmat Masyarakat (PKM) TV Terbaik melalui Hari Keluarga Kebangsaan 2018 - Tabung Kebahagiaan.


Kategori Penerbitan TV diakhiri dengan pengiktirafan Dayang Hajah Zaimah binti Haji Abd. Rahman sebagai penerima anugerah Penerbitan Siaran Langsung TV Terbaik melalui Rentak Optima - Final.


Majlis diteruskan dengan Kategori Perkhidmatan Radio, di mana Dayang Nor Kamalia binti Haji Abd. Jalil menerima anugerah Rancangan Bual Bicara Radio Terbaik menerusi An-Nisa Ibu Naja Hafiz Indonesia.


Awang Adi Faiz bin Jaludin menerima anugerah Rancangan Dakwah Radio Terbaik untuk Ramadhan Asy-Syifaa Episod 11, dan Awang Md. Alif Amsyar Izzul Islam bin Suhaili memenangi anugerah Pesanan Khidmat Masyarakat (PKM) Radio Terbaik bagi Pemulihan Selepas Jangkitan COVID-19.


Bagi platform audio digital, Dayang Nurul Izzati binti Haji Nordin diumumkan sebagai pemenang Podcast RTB Terbaik melalui Minding The Gap Musim 2.


Dalam Kategori Penerbitan Berita, Dayang Hajah Sahrinah binti Haji Abd. Ghani dianugerahkan Liputan Berita Kreatif Terbaik menerusi Aspirasi Belia Mencapai Wawasan 2035. Awang Haji Md. Daud bin Haji Kamis menerima anugerah Pakej Program Hal Ehwal Semasa Kreatif Terbaik bagi liputan Berkhemah ke Taman Riadah Bukit Saeh, Lumapas.


Dayang Siti Nur Maziyyah binti Jini pula memenangi Projek Berita Kreatif Terbaik melalui Impak Penggunaan Jentera Berteknologi Tinggi Kepada Pembekal Perkhidmatan Penyembelihan Ayam Tempatan.


Dalam Kategori Penerbitan Media Digital, Hadiyul Studio menerima anugerah Video On Demand menerusi Catatan Misteri Mini Series (2023) Episod 1: Telekung Arwah Aida (Bahagian 2), manakala Dayang Nur 'Alya Fareedah binti Haji Mohammad menerima anugerah Podcast bagi Terkenang Semasa Dulu (2022): Mengenang Jasa Guru Aie Mulanya.


Kategori Popular menyaksikan Awang Tauffek Ilyas menerima pengiktirafan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, manakala Pengiran Hajah Rokiah binti Pengiran Haji Abdullah dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular.


Dalam penyiaran radio, DJ Alif dan DJ Ann masing-masing menerima anugerah Penyampai Radio Lelaki RTB Popular dan Penyampai Radio Wanita RTB Popular.


Awang Adi Faiz Jaludin menerima anugerah Pengacara TV Lelaki Popular, manakala Dayang Suzan Maidin menerima anugerah Pengacara TV Wanita Popular.


Kategori popular ditutup dengan penyampaian anugerah Penyiar Berita Lelaki RTB Popular kepada Awang Ahmad Nur Irsyaduddin Hasrom, manakala anugerah Penyiar Berita Wanita RTB Popular dimenangi oleh Dayang Waznah Fakhriana Othman.


Turut hadir, Pemangku Pengarah RTB, Awang Cheong Chee Keong; pegawai-pegawai kanan kerajaan serta orang ramai. Objektif AKP RTB 2025 ini diadakan adalah bagi menghargai kreativiti kepada karya-karya yang dihasilkan oleh para penerbit.


Ia juga bertujuan meningkatkan kualiti penerbitan dalam bidang penyiaran bagi memperkenalkan inovasi kandungan yang disiarkan kepada pendengar dan penonton.


Di samping itu, ia bertujuan untuk merealisasikan platform persaingan secara sihat, membolehkan pertukaran pengalaman serta membina hubungan profesional bagi meningkatkan karier masing-masing.


Close