Lawatan Kerja memperkukuh kerjasama dua hala dalam pendidikan




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan

 





REPUBLIK INDONESIA, Sabtu, 6 Disember. - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, telah menamatkan lawatan kerja ke Bandung dan Jakarta, Republik Indonesia, yang telah berlangsung pada 2 hingga 6 Disember 2025.


Selaku Presiden Majlis Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (Southeast Asian Ministers of Education Organisation, SEAMEO) bagi tahun 2025-2027, Yang Berhormat Menteri Pendidikan memegang peranan penting dalam mempromosikan kerjasama dalam kalangan Negara Anggota SEAMEO dengan mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli-ahli Majlis SEAMEO dan lawatan rasmi ke Pusat/Rangkaian Serantau SEAMEO.


Semasa berada di Republik Indonesia, Yang Berhormat melawat Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pusat Serantau SEAMEO bagi Penjagaan, Pendidikan dan Keibubapaan Awal Kanak-kanak (SEAMEO Regional Centre for Early Childhood Care, Education and Parenting, CECCEP) di Bandung.


Yang Berhormat diberikan taklimat mengenai fungsi pusat tersebut yang memfokuskan kepada penyelidikan, advokasi, dan pembangunan kapasiti bagi pihak berkepentingan dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, serta keibubapaan, berserta program-program utama mereka.


Seterusnya, Yang Berhormat mengadakan lawatan ke Pusat Serantau SEAMEO bagi Peningkatan Kualiti Guru dan Tenaga Pendidikan dalam Sains (SEAMEO Regional Centre for Quality Improvement for Teachers and Education Personnel in Science, SEAQIS), yang turut disertai oleh Pusat Serantau bagi Peningkatan Kualiti Guru dan Tenaga Pendidikan dalam Matematik (SEAMEO Regional Centre for Quality Improvement for Teachers and Education Personnel in Mathematics, SEAQIM). 


Kedua-dua pusat tersebut berfungsi sebagai pusat kecemerlangan dalam pembangunan profesional guru serta tenaga pendidikan dalam bidang sains dan matematik. 


Yang Berhormat turut mengadakan lawatan ke Ekspo Pembelajaran STEM Young Explorers dan Sekolah Tadika Assalam, bagi menyaksikan aktiviti pembelajaran secara langsung dan eksploratori yang memfokuskan secara khusus kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).


Yang Berhormat seterusnya berkunjung ke Pusat Serantau SEAMEO bagi Peningkatan Kualiti Guru dan Tenaga Pendidikan dalam Bahasa (SEAMEO Regional Centre for Quality Improvement for Teachers and Education Personnel in Language, SEAQIL), yang turut disertai oleh Ahli Lembaga Pengarah dari Pusat Serantau SEAMEO bagi Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (SEAMEO Regional Centre for Open and Distance Learning, SEAMOLEC), Pusat Serantau SEAMEO bagi Makanan dan Pemakanan (SEAMEO Regional Centre for Food and Nutrition, RECFON), dan Pusat Serantau SEAMEO bagi Biologi Tropika (SEAMEO Regional Centre for Tropical Biology, BIOTROP). 


Yang Berhormat telah dikongsikan maklumat secara keseluruhan mengenai peranan dan kepakaran yang ditawarkan oleh setiap pusat serantau, termasuk hasil, dan sumbangan setiap pusat, dengan mengambil maklum penglibatan peserta dari Negara Brunei Darussalam (NBD) sebelum ini.


Lawatan kerja tersebut diakhiri dengan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Prof. Atip Latipulhayat, untuk membincangkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara. 


Semasa kunjungan hormat tersebut, Yang Berhormat turut diiringi oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.


Sepanjang lawatan kerja itu, Yang Berhormat telah diiringi oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Kanchanawati binti Haji Tajuddin, selaku Pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Tinggi SEAMEO bagi tempoh 2024-2026. 


Dr. Shamsiah, juga selaku Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan Brunei Darussalam bagi UNESCO, telah mengambil kesempatan untuk melawat Pejabat UNESCO di Jakarta dan mengunjungi Pengarah Pejabat Serantau Pelbagai Sektor UNESCO dan Wakil UNESCO untuk Republik Indonesia, NBD, Malaysia, Republik Filipina, dan Republik Timor-Leste, Maki Katsuno-Hayashikawa.


Turut mengiringi Yang Berhormat dan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan ke lawatan kerja tersebut ialah pegawai-pegawai dari kementerian berkenaan.


Close