Oleh : Khartini Hamir / Foto : Alishahrin Haji Mumin
BERAKAS, Khamis, 4 Disember. - Pusat Promosi Kesihatan (PPK), Kementerian Kesihatan pagi tadi mengadakan Majlis Penghargaan Penghasilan Video Pengumuman Perkhidmatan Awam (PSA) Pemakanan Sihat, bertempat di Studio 2, PPK.
Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama di antara Kementerian Kesihatan dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai amalan pemakanan sihat melalui penghasilan kandungan digital yang kreatif oleh pelajar tempatan.
Hadir selaku tetamu kehormat, Ketua Pegawai Eksekutif, PPK, Awang Haji Mohammad Firdey Hazarullah bin Haji Mohd. Zain.
Juga hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Agrimakanan (CrAFT), UTB, Dr. Syazana Abdullah Lim; Ketua Program Creative Computing, School of Computing and Informatics, UTB, Pengiran Dr. Haji Azhan bin Pengiran Haji Ahmad; dan Pensyarah Modul, UTB, Dayang Noor Deenina binti Haji Mohd. Salleh.
Kehadiran kedua-dua pihak dalam majlis berkenaan mencerminkan komitmen yang kukuh di antara kedua-dua agensi dalam memperkasakan pendidikan kesihatan melalui media digital sesuai dengan arus pemodenan yang semakin pesat.
Kerjasama tersebut memberi peluang kepada pelajar UTB, khususnya dari modul Motion Graphic Design di bawah Program Creative Computing, School of Computing and Informatics, untuk menghasilkan video PSA Pemakanan Sihat sebagai sebahagian daripada tugasan kursus.
Manakala, PPK pula memainkan peranan penting dalam menilai ketepatan mesej kesihatan, kesesuaian kandungan dan keberkesanan penyampaian bagi memastikan bahan yang dihasilkan adalah selaras dengan dasar dan mesej pemakanan sihat Kementerian Kesihatan.
Tiga pelajar UTB yang telah dipilih untuk menerima penghargaan bagi penghasilan video PSA Pemakanan Sihat iaitu Awang Md. Mahyuddin Solihin Shamsuddin – 'Eat Healthy, Grow Healthy by Md. Mahyuddin Solihin Shamsuddin', yang menekankan kepentingan membuat pilihan makanan yang lebih sihat dalam kehidupan seharian melalui penerangan ringkas dan visual yang mudah difahami.
Dayang Iffah Izyany binti Muhammad Nawawie – 'Healthy Eating Habits by Iffah Izyany', yang memfokuskan kepada pembentukan tabiat pemakanan sihat, termasuk pengawalan saiz hidangan dan pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.
Awang Abdul Wafi bin Abd. Razak – 'Meet The Food Force by Abdul Wafi bin Abd. Razak', yang menggunakan watak animasi dan penceritaan kreatif untuk menggalakkan kanak-kanak dan remaja mengenali makanan berkhasiat sebagai 'wira' yang membantu kesihatan tubuh badan.
PPK berhasrat untuk menyiarkan video-video yang terpilih ini melalui Radio Televisyen Brunei (RTB), selain dikongsikan di platform media sosial rasmi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
Video-video berkenaan juga akan digunakan sebagai bahan pendidikan dalam sesi ceramah, jerayawara dan aktiviti kesihatan di sekolah-sekolah, serta dipaparkan di klinik dan hospital kerajaan serta klinik swasta yang berminat, bagi memperluas capaian mesej pemakanan sihat kepada orang ramai di pelbagai peringkat.
Melalui inisiatif berkenaan, pelajar UTB bukan sahaja memperoleh pengalaman pembelajaran berasaskan projek sebenar yang memberi impak sosial, malah PPK mendapat akses kepada kandungan digital yang inovatif untuk menyokong strategi promosi kesihatan dan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) di Negara Brunei Darussalam.
CrAFT pula akan terus komited untuk memberi sokongan kepada inisiatif kebangsaan melalui penyelidikan, inovasi dan penghasilan kandungan berimpak tinggi, sekali gus membuka ruang kerjasama antara penyelidik, pelajar dan agensi kerajaan dalam mempromosikan amalan gaya hidup kepada masyarakat.
Dengan adanya kerjasama ini akan membuka lebih banyak ruang untuk diterokai bersama UTB pada masa akan datang, khususnya dalam pembangunan aplikasi interaktif dan permainan serius ('serious games') yang dihasratkan dapat dimanfaatkan bagi mempertingkatkan lagi tahap kesihatan masyarakat melalui penggunaan teknologi digital.
Untuk makluman lanjut mengenai inisiatif dan mesej promosi kesihatan terkini dari PPK, orang ramai bolehlah menghubungi PPK di talian +673 2385 800 atau e-mel 'hpc@moh.gov.bn', serta mengikuti akaun media sosial rasmi '@hpcbrunei'.