Oleh : Aimi Sani / Foto : Azmah Haji Ahad
JERUDONG, Selasa, 2 Disember. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dengan kerjasama Universiti Islam Sharif Ali (UNISSA) sebagai penganjur bersama bagi inisiatif Call-for-Papers (CFP) 2024 dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai Hos Simposium, hari ini menganjurkan Brunei Darussalam Islamic Finance (BDIF) Symposium 2025 Ke-2 bertempat di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, Jerudong, di sini.
Simposium bertemakan 'Navigating Digital Frontiers in Islamic Finance' merupakan satu platform untuk membincangkan perkembangan terkini, cabaran dan peluang dalam bidang kewangan Islam, sekali gus memupuk perkongsian pengetahuan dan kerjasama antara pihak industri, akademia dan sektor awam.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan pengiktirafan rakan sebaya dan kemajuan akademik melalui peluang penerbitan dan penyelidikan.
Lebih daripada 200 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, pengamal industri kewangan, ahli-ahli akademik, serta pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi menghadiri simposium tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Menteri Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah BDCB.
Terdahulu, simposium dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh mahasiswa Tahun 3, UNISSA, Awang Mohammad Aziz Aszreen Shah bin Haji Mohd. Zain, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Urusan BDCB, Dayang Hajah Rashidah binti Haji Sabtu.
Dayang Hajah Rashidah dalam ucapannya menekankan pertumbuhan kukuh kewangan Islam di peringkat global dan serantau, dengan jumlah aset mencecah USD5.98 trilion, manakala Asia Tenggara kini muncul sebagai hab kedua terbesar dengan hampir USD1 trilion aset.
Beliau turut menggariskan pencapaian Negara Brunei Darussalam yang menduduki tempat ke-13 di peringkat global dalam ICD-LSEG Islamic Finance Development Report 2025, di mana aset kewangan Islam merangkumi lebih separuh daripada aset sistem kewangan domestic.
Beliau juga seterusnya menegaskan komitmen BDCB untuk terus memajukan kewangan Islam melalui peluasan rangka kerja 'Islamic windows' dalam sektor perbankan serta pengukuhan FinTech Regulatory Sandbox bagi meluaskan akses kepada sumber kewangan dan untuk memacu inovasi.
Majlis diteruskan dengan perasmian simposium oleh tetamu kehormat dengan pelancaran laman sesawang BDIF. Laman sesawang ini berfungsi sebagai hab utama untuk memacu pemahaman, kerjasama dan pembangunan dalam ekosistem kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam.
Ia menghimpunkan maklumat utama mengenai pertumbuhan industri, landskap kawal selia dan inisiatif strategik, di samping mempamerkan usaha dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan modal insan. Ini menandakan satu pencapaian penting ke arah usaha untuk meningkatkan akses kepada pengetahuan dan sumber maklumat berkaitan kewangan Islam.
Acara kemudian menyaksikan Majlis Penyampaian Anugerah Kertas Terbaik iaitu satu hasil utama inisiatif CFP yang dianjurkan bersama UNISSA pada tahun 2024.
CFP menyediakan platform untuk para penyelidik, pengamal dan pelajar untuk menyumbangkan kertas akademik mengikut tema yang telah dikenal pasti, di mana beberapa kertas kerja yang dikemukakan telah terpilih berdasarkan kecemerlangan dan inovasi.
Anugerah Kertas Terbaik (Kategori Profesional) telah diraih oleh Dr. Vita Sarasi dari Universitas Padjadjaran, Indonesia atas kertas kerja beliau bertajuk 'Enhancing Transparency in Islamic Finance through Blockchain : A System Thinking Approach to Accountability'.
Manakala Anugerah Kertas Terbaik (Kategori Pelajar) dimenangi oleh Dayang Nurul Amalina binti Suprem dari Universiti Shanghai Jiao Tong, China bagi kertas kerja beliau 'Breaking the Cycle : Addressing Systemic Challenges and Fostering Resilience in Brunei's Collaborative Growth Enterprises (CGEs)'.
Tiga kertas teratas daripada kedua-dua kategori telah dibentangkan semasa acara tersebut, mempamerkan pelbagai topik dan perspektif. Kertas-kertas kerja tersebut juga diterbitkan dalam Jurnal Edisi Khas UNISSA yang menekankan peranan penyelidikan dan perkongsian ilmu dalam membentuk masa depan kewangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Seterusnya, acara menampilkan pembentangan utama oleh Dr. Ziyaad Mahomed, Associate Professor dan Lead Researcher (Shari'ah) di INCEIF University, Malaysia. Pembentangan beliau menumpukan kepada kemajuan teknologi dalam sektor kewangan serta implikasinya terhadap perkembangan dan transformasi kewangan Islam dalam era digital.
Selaras dengan tema simposium, sesi Masterclass yang dikendalikan oleh Dr. Ziyaad Mahomed akan diadakan pada 3 Disember 2025 untuk memberikan peluang kepada para peserta mendapatkan pemahaman dan penglibatan dalam bidang-bidang utama kewangan Islam secara lebih mendalam.
Turut hadir, Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDCB dan Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, Setiausaha-setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua industri kewangan.