Membina persekitaran, ekosistem inklusif bagi golongan OKU



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 Disember. - Pada 3 Disember tahun ini, Negara Brunei Darussalam (NBD) dan negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meraikan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya - HAOKU (International Day of Disabled Persons) Kali Ke-32, dengan tema 'Fostering Disability Inclusive Societies For Advancing Social Progress' atau 'Memupuk Masyarakat Berkelainan Upaya Yang Inklusif Ke Arah Kemajuan Sosial'.


Tema berkenaan selaras dengan Pelan Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU) di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial yang menekankan membina persekitaran serta ekosistem yang inklusif bagi golongan OKU seperti infrastruktur, prasarana dan komunikasi yang mesra-OKU, pengamalan anti-diskriminasi di tempat-tempat awam, dan juga pembangunan serta pengemaskinian dasar-dasar yang mengambil kira suara OKU.


Perkara berkenaan yang dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad dalam perutusan sempena HAOKU 2025.


Jelas Yang Berhormat, sejak penguatkuasaan Perintah OKU pada 1 Oktober 2021, seramai 5,443 OKU telah mendaftar dalam Pendaftaran Kebangsaan OKU. Manakala, seramai 7,615 orang menerima Elaun Kurang Upaya (EKU), termasuk 1,195 orang menerima dua faedah, iaitu Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya.


Selain itu tambah Yang Berhormat lagi, 3,164 orang juga menerima Elaun Penyediaan Penjagaan (EPP), iaitu bantuan khas kepada penjaga OKU.


"Alhamdulillah, NBD, melalui usaha secara Whole of Nation sentiasa aktif menekankan kepentingan untuk melindungi dan memperjuangkan hak OKU.


"Antara inisiatif dan pencapaian tahun ini ialah penubuhan sebuah Task Force Pelekat Kenderaan OKU, yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), bagi meneliti tatacara penguatkuasaan penggunaan letak kereta OKU, ke arah memperkukuh aksesibiliti dan melindungi hak OKU.


"Pengeluaran Siri Wang Kertas Keluaran Baharu NBD yang akan diedarkan mulai 2026, oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), yang menampilkan ciri DOMINO™ berupa titik timbul untuk membantu OKU penglihatan mengenal pasti denominasi, yang dibangunkan dengan kerjasama Brunei Darussalam National Association of the Blind (BDNAB) sebagai usaha negara meningkatkan akses pembayaran untuk semua," kata Yang Berhormat.


Dalam bidang pendidikan pula jelas Yang Berhormat, setakat September 2025, seramai 3,180 pelajar berkeperluan khas berdaftar di institusi kerajaan, dari peringkat Pra hingga Tingkatan 6. Kementerian Pendidikan juga memperluas peluang penyertaan pelajar OKU melalui pelbagai aktiviti tahunan seperti pertandingan hafazan, kolaj, nyanyian solo, pakaian tradisional dan etnik puak Brunei, serta penganjuran Program Bootcamp Rendah dan Menengah.


Tambah Yang Berhormat lagi, Pendidikan Khas Ugama turut mencatat kemajuan ketara melalui penyelarasan kurikulum serta penyediaan bahan pembelajaran adaptif merangkumi modul ibadah, literasi Jawi dan kitab Braille.


"Seramai 64 murid OKU lulus Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) pada 2024, di samping penglibatan aktif mereka dalam kokurikulum keagamaan seperti Majlis Khatam Al-Quran dan program Ramadan.


"Profesionalisme guru turut diperkasa melalui latihan pedagogi, psikologi pendidikan dan terapi pembelajaran secara kolaboratif bersama pelbagai agensi, disokong oleh penyediaan 44 Bilik Bantuan Pembelajaran di sekolah ugama.


"Jumlah pelajar meningkat dari 804 orang pada 2024 kepada 918 orang pada 2025, dibimbing oleh 92 orang guru pada 2025," jelas Yang Berhormat.


Yang Berhormat seterusnya mengongsikan pencapaian atlet OKU terus mengharumkan nama negara. Dalam 2nd SEA Deaf Games 2025 di Jakarta, atlet negara OKU pendengaran meraih tiga pingat gangsa. Manakala dalam Para Swimming Circuit di Kuala Lumpur tahun ini, atlet para renang, Awang Mohd. Danial Hakim bin Harjimmey, meraih lima pingat emas dan satu pingat perak, di samping memecahkan beberapa rekod kebangsaan.


Tambah Yang Berhormat lagi, beliau juga telah dilantik sebagai 'brand ambassador' rasmi syarikat Heidelberg Materials Butra Sdn. Bhd. mulai 2026, yang setentunya memberi inspirasi kepada yang lain.


Inisiatif Projek Gelang SafeLink kata Yang Berhormat, turut diperkenalkan pada 18 Ogos 2025, hasil kolaborasi Kumpulan Together 4 Autism (T4A) di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Pertengahan Ke-36 (EDPMMO-36), dengan sokongan beberapa agensi swasta.


Gelang keselamatan untuk kanak-kanak autisme berkenaan tambah Yang Berhormat, dilengkapi kod QR, mengandungi maklumat kecemasan, sebagai langkah proaktif untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.


Yang Berhormat selanjutnya berkata pada tahun ini, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) menerima Anugerah ASEAN Outstanding Social Welfare and Development Awards (AOSWADA) bagi Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), manakala An-Nur Harapan (UnikLearn) menerima anugerah bagi kategori sektor swasta, disampaikan semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-12 pada Ogos 2025.


"Persidangan Kebangsaan OKU Kali Pertama juga telah diadakan Januari tahun ini oleh MKOKU, KKBS dan Majlis Belia Brunei, melibatkan lebih 300 pembuat dasar, NGO dan pakar antarabangsa termasuk ASEAN Disability Forum.


"Hasil dialog ini menjadi asas kepada penyediaan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Orang Kelainan Upaya 2025 hingga 2029.


"Alhamdulillah, marilah kita sama-sama menyambut HAOKU dan pada masa yang sama, sering mengingatkan antara satu sama lain untuk menghargai nilai dan sumbangan yang dicurahkan oleh golongan OKU kepada negara.


"Dengan segala kerendahan hati, saya dengan sukacitanya mengucapkan 'Selamat Hari Antarabangsa OKU' kepada semua golongan OKU di NBD," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.

Close