Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
LONDON, UNITED KINGDOM, Selasa, 2 Disember. – International Maritime Organization (IMO) Sesi Ke-34 telah bermula pada 24 November 2025 di Ibu Pejabat IMO di London, United Kingdom.
Perhimpunan IMO, yang bersidang setiap dua tahun, merupakan badan pembuat keputusan tertinggi pertubuhan tersebut, menghimpunkan 176 negara anggota.
Perhimpunan IMO ini membincangkan dasar maritim dan perkapalan global, termasuk keselamatan dan sekuriti maritim, perlindungan alam sekitar marin, hal ehwal perundangan, kerjasama teknikal dan pembinaan kapasiti.
Negara Brunei Darussalam (NBD) telah diwakili oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Semasa perhimpunan tersebut, 82 ketua delegasi, termasuk NBD telah menyampaikan Kenyataan Umum.
Dalam Kenyataan Umum, Yang Berhormat menyatakan penghargaan kepada Setiausaha-Jeneral IMO, Tuan Yang Terutama Arsenio Antonio Dominguez, atas peranan penting Tuan Yang Terutama dalam memajukan kerja dan matlamat IMO ke arah pengangkutan maritim yang lebih selamat, lebih hijau dan lebih cekap, mempromosikan pendigitalan serta mengukuhkan sokongan untuk para pelaut dan negara-negara membangun.
Yang Berhormat juga menyatakan sokongan NBD terhadap usaha-usaha dan aspirasi bersama ini serta menegaskan kembali komitmen kukuh negara terhadap objektif IMO.
Yang Berhormat seterusnya menekankan peranan sektor maritim dalam memacu pelbagai ekonomi, memperkasa kemudahan perdagangan, ketahanan negara serta mewujudkan peluang pekerjaan yang bersedia untuk masa hadapan.
Sempena memperingati Ulang Tahun Ke-40 Keanggotaan NBD dalam IMO, Yang Berhormat menegaskan kerjasama jangka panjang negara dalam memajukan industri maritim yang selamat, terjamin dan mampan, termasuk pemodenan Vessel Traffic Management System (VTMS) serta pelaksanaan Maritime Single Window (MSW) pada Mac 2025, selaras dengan penyertaan NBD ke dalam Convention on Facilitation of International Maritime Traffic (Konvensyen FAL).
Mengenai Strategi IMO 2023 bagi pengurangan pelepasan gas rumah kaca daripada pengangkutan laut, Yang Berhormat menyatakan bahawa peralihan ke arah perkapalan rendah dan sifar pelepasan mestilah inklusif dan boleh dilaksanakan oleh semua negara anggota, dengan mengambil kira kapasiti dan keadaan nasional yang berbeza-beza.
Selain itu, Yang Berhormat turut berkongsi bahawa NBD telah menyumbang kepada dana kerjasama teknikal IMO, termasuk menjadi tuan rumah Bengkel Serantau IMO mengenai Konvensyen Liabiliti dan Pampasan, yang dihadiri oleh 13 negara anggota dari rantau Asia Pasifik pada Januari 2025.
Semasa perhimpunan, Yang Berhormat mengadakan beberapa perbincangan dua hala, termasuk bersama Penasihat Terhormat, Kementerian Pengangkutan, Republik Rakyat Bangladesh, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B.) Dr. M Sakhawat Hussain; Menteri Pengangkutan dan Logistik, Kerajaan Maghribi, Tuan Yang Terutama Abdessamad Kayouh dan Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik serta Pengerusi Lembaga Pengarah Transport General Authority (TGA), Kerajaan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Saleh Al-Jasser.
Perbincangan ini meneliti potensi kerjasama dalam pembangunan maritim, termasuk kerjasama lebih luas dalam bidang pengangkutan, logistik dan keterhubungan.
Yang Berhormat juga mengadakan kunjungan hormat dengan Setiausaha-Jeneral International Organisation for Marine Aids to Navigation (IALA), Tuan Yang Terutama Francis Zachariae.
Semasa pertemuan tersebut, Yang Berhormat menekankan usaha NBD dalam memperkukuh keselamatan maritim, termasuk penambahbaikan sistem dan infrastruktur navigasi yang sedang berjalan serta rancangan akan datang untuk menyertai Konvensyen IALA.
Turut hadir menyertai Yang Berhormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; Pesuruhjaya Tinggi NBD di London, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), Kapten (B) Zil Husam bin Abdul Rahman bersama pegawai kanan dari MTIC dan MPABD.
Sesi Perhimpunan IMO Ke-34 akan diteruskan sehingga 3 Disember 2025, dan akan dihadiri oleh wakil daripada MTIC dan MPABD.