Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
HA NOI, REPUBLIK SOSIALIS VIET NAM, Isnin, 1 Disember. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Santap Negara yang dihoskan oleh Presiden Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Luong Cuong berlangsung di International Convention Centre, Ha Noi, malam tadi.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Juga hadir pada majlis tersebut, Perdana Menteri Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh yang mana kehadiran Tuan Yang Terutama menandakan hubungan rapat antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan TYT dan mencerminkan hubungan dua hala yang erat.
Pada majlis tersebut itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah menzahirkan rasa gembira untuk kembali ke 'City for Peace'.
Republik Sosialis Viet Nam menjadi Ahli ASEAN pada tahun 1995 di Bandar Seri Begawan, dan 30 tahun kemudiannya telah muncul sebagai salah satu daripada ekonomi yang semakin meningkat di rantau ini selain menjadi sebuah negara anggota ASEAN yang dihormati.
Sehubungan itu, baginda yakin bahawa Republik Sosialis Viet Nam akan terus mencapai kemajuan yang ketara di bawah Wawasan 2045 ke arah menjadi sebuah negara yang makmur dan mampan.
Kebawah DYMM juga memuji evolusi Republik Sosialis Viet Nam di peringkat antarabangsa, termasuk pemilihan semulanya ke Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kejayaan dalam menganjurkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber.
Secara dua hala, Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Sosialis Viet Nam terus berkongsi hubungan yang mesra dan rapat melalui Perkongsian Komprehensif.
Kebawah DYMM mengetengahkan hubungan perdagangan yang semakin mendalam dalam banyak bidang, termasuk melalui usaha sama pertanian dan kerjasama tenaga, yang membawa manfaat bersama serta menjamin keselamatan makanan dan tenaga.
Melangkah ke hadapan, kedua-dua negara mesti bekerjasama rapat untuk pertumbuhan dan pembangunan yang berterusan dan baginda menzahirkan rasa sukacita bahawa NBD dan Republik Sosialis Viet Nam sedang mengukuhkan hubungan dua hala melalui pemeteraian beberapa dokumen semasa Keberangkatan Negara ini.
Dalam mengakhiri titah, Kebawah DYMM berharap untuk bekerjasama rapat dengan Republik Sosialis Viet Nam dan Negara Anggota ASEAN yang lain untuk mencapai Wawasan Komuniti ASEAN 2045 ke arah keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.
