Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
HA NOI, REPUBLIK SOSIALIS VIET NAM, Selasa, 2 Disember. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat balik meninggalkan Republik Sosialis Viet Nam setelah selesai mengadakan Keberangkatan Negara, hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat dan hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Chairman of the Office of the President, Tuan Yang Terutama Le Khanh Hai, selaku Menteri Pengiring; Chairman of the Ha Noi People's Committee, Vu Dai Thang dan Deputy Minister of Foreign Affairs, Tuan Yang Terutama Nguyen Manh Cuong.
Keberangkatan Negara ini menunjukkan komitmen Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Sosialis Viet Nam untuk mengeratkan hubungan mesra dan kerjasama berikutan penubuhan Perkongsian Komprehensif pada tahun 2019.
Ia telah memberikan peluang untuk membina kemajuan yang telah dicapai oleh kedua-dua negara dalam bidang-bidang keutamaan, dalam mana kedua-dua pihak berhasrat untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama termasuk industri minyak dan gas, keselamatan makanan, khususnya dalam sektor pertanian makanan dan akuakultur serta industri halal.
Kedua-dua buah negara telah memeterai tiga Memorandum Persefahaman, yang antara lainnya akan meningkatkan kapasiti teknikal makmal perikanan; menambah nilai produk perikanan agar lebih berdaya saing serta meluaskan pasaran eksport; mempertingkatkan perlindungan komuniti nelayan; dan menggalakkan amalan penangkapan ikan yang bertanggungjawab serta mengukuhkan usaha-usaha kolaborasi agensi-agensi penguatkuasaan.
