DPMM berkenan menerima mengadap





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi






 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi berkenan menerima mengadap Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, Yang Berhormat Profesor Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim yang berlangsung di Qashr Al-Meezan.


 Menyertai Yang Berhormat pada Majlis Mengadap tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Laurence Bay; Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Tuan Kadir Maideen; dan Timbalan Mufti MUIS, Dr. Mohd. Murat Md. Aris.


Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Yang Berhormat mengadakan lawatan ke negara ini selama dua hari dan ini merupakan lawatan pengenalan Yang Berhormat ke NBD sejak pelantikannya selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada 23 Mei 2025.


Selain itu, lawatan ini juga memberi peluang kepada kedua-dua buah negara untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang-bidang yang berkepentingan bersama, termasuk hal ehwal ugama.


Brunei Darussalam dan Singapura baru-baru ini juga telah mengesahkan kembali komitmen untuk mendokong hubungan istimewa dan unik yang telah lama terjalin melalui Program Pemimpin-Pemimpin Muda Ke-11 ( Young Leaders' Programme - YLP) yang diadakan di Bandar Seri Begawan pada 3 hingga 4 November 2025.


Close