Memperkasa petani tempatan, meningkatkan perdagangan serantau




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan dan Ekonomi





DAVAO CITY, Isnin, 17 November. - Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, baru-baru ini menghadiri Ministerial Retreat and the 28th BIMP EAGA Ministerial Meeting yang diadakan di Davao City, Republik Filipina pada 13 dan 14 November 2025.


Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Penandatanganan BIMP-EAGA bagi Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Setiausaha Leo Tereso Magno; dan dihadiri oleh Menteri-menteri Penandatanganan BIMP-EAGA lain, Ketua Menteri dan Gabenor BIMP-EAGA, pegawai-pegawai kanan BIMP-EAGA, Bank Pembangunan Asia (Asian Development Bank-ADB) dan Sekretariat ASEAN.


Mesyuarat mengambil maklum keputusan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) BIMP-EAGA Ke-33 yang meliputi antara lain, perkembangan Kluster dan Kumpulan Kerja termasuk penukaran nama Kluster Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada Kluster Digital, dengan skopnya yang diperluaskan untuk memanfaatkan teknologi baharu muncul seperti Kecerdasan Buatan (AI), penubuhan Pasukan Petugas Halal dan Kumpulan Kerja Zon Ekonomi bagi menggiatkan lagi peluang yang tersedia dalam koridor ekonomi BIMP-EAGA; serta pemeteraian perjanjian antara Wasan Milling Co. Sdn. Bhd. Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Perbandaran Nara, Palawan, Republik Filipina yang bertujuan memperkasa petani tempatan dan meningkatkan perdagangan serantau.


Selain mengambil maklum hasil 7th Chief Ministers, Governors, Local Government Forum (CMGLF), antara lain dalam memperkukuh peranan CMGLF dalam menterjemahkan strategi sub-serantau kepada tindakan tempatan yang konkrit di peringkat tempatan; dan meneruskan kerjasama sub-nasional, termasuk melalui forum dua hala atau rentas sempadan untuk menggalakkan inisiatif saling melengkapi serta pemuktamadkan berterusan Pelan Tindakan Kerjasama BIMP-EAGA dan China 2026-2030.


Mesyuarat amat mengalu-alukan laporan kemajuan mengenai Wawasan BIMP-EAGA (BEV) 2035, yang dijangka meneruskan kesinambungan daripada BEV 2025 sebelumnya dan berperanan sebagai prinsip panduan ke arah mencapai pertumbuhan sosioekonomi yang lebih pesat di seluruh rantau ini.


Kenyataan Media Bersama bagi Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA Ke-28 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan tersedia untuk dimuat turun melalui laman sesawang BIMP-EAGA.


Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA Ke-28 dan Mesyuarat Berkaitan didahului oleh BIMP-EAGA SOM Ke-33, serta Mesyuarat BIMP-EAGA SOM dan China Ke-16 dan Mesyuarat BIMP-EAGA SOM dan Sekretariat ASEAN pertama masing-masing diadakan pada 12 dan 13 November 2025.


Sementara itu, Persidangan Pelaburan BIMP-EAGA (BIMP-iCON) turut dijalankan di luar Mesyuarat Menteri-menteri dengan NBD telah menandatangani empat Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pembangunan ICT semasa acara berkenaan.


Ditubuhkan pada 1994, BIMP-EAGA ialah satu inisiatif antara NBD, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Filipina untuk mempercepatkan pembangunan sosioekonomi di sub-rantau itu. Hari ini, ia mewakili 10 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN.


Close