Tanggungjawab bersama melaksanakan amanah di jalan raya




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 November. - Para pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mengutamakan sikap toleransi serta peka terhadap keadaan sekeliling. Ini kerana antara punca berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap ego yang ada pada diri seseorang sehingga hanya memikirkan kepentingan diri sendiri.


Antaranya memandu perlahan di lorong kanan, memotong kenderaan di hadapan tanpa memberikan isyarat terlebih dahulu, berlumba haram, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan juga menggunakan telefon bimbit ketika memandu.


Jika perkara-perkara ini diberi perhatian, dicegah dan disertai dengan sikap tolak ansur insyaaAllah, risiko kemalangan lalu lintas jalan raya yang sehingga menyebabkan kematian dapat dicegah.


Memang mati itu pasti, namun sebagai umat Islam kita dianjurkan untuk sentiasa berusaha antaranya dengan membaca doa dan berzikir sebelum memulakan perjalanan. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memberikan kerjasama padu dalam melaksanakan amanah ketika berada di jalan raya.


Jangan jadikan sikap keegoan membatasi fikiran sehingga mengundang kecelakaan kepada orang yang tidak berdosa yang akhirnya membawa penyesalan kepada diri sendiri.


Demikian antara perkara yang ditekankan di dalam tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Unit Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi menyerikan Munajat Khas anjuran KHEU Kali Ke-208 dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalulintas Jalan Raya Sedunia 2025.


Munajat Khas pada petang tadi itu disertai bersama oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, dari Surau KHEU; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pengerusi MKKJR dari Surau LTAB.


Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Turut menyertai, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan warga kerja di bawah KHEU serta MTIC dan juga ahli-ahli MKKJR.


Menyemarakkan lagi acara ialah murid-murid dan tenaga pengajar dari sekolah-sekolah di bawah KHEU dan Kementerian Pendidikan. Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diikuti dengan bacaan Tahlil beramai-ramai dipimpin oleh Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil, Kawasan Brunei IIA, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Awang Muhd Suhnoromardi bin Haji Suhaimi, dari sekolah ugama berkenaan.


Seterusnya, Doa Munajat Khas dibacakan oleh Timbalan Pengetua Pengajian Tinggi Diploma 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, KHEU, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, dari Musolla institut tahfiz tersebut.


Selesai tazkirah, Munajat Khas disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai oleh warga MTIC dari Surau LTAB. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Ketua Imam, Surau LTAB, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Mohammad Asyraf bin Haji Bujang, dari surau berkenaan.


Close