Doa Kesyukuran sambutan Jubli Perak penggunaan Masjid YSHHB





Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi





 

KASAT, Ahad, 16 November. - Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pagi tadi mengadakan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun sempena memperingati penggunaan bangunan masjid berkenaan yang telah menjadi mercu tanda keagamaan dan tempat tumpuan ibadat masyarakat setempat sejak penubuhannya.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Tahlil Arwah oleh bilal masjid, Awang Mohammad bin Rosdin dan seterusnya Doa Tahlil Arwah serta Doa Kesyukuran Majlis yang dibacakan oleh Imam Masjid, Awang 'Abdul Rauf bin Haji Ismail.


Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Haji Jalaluddin Jamil bin Mohd. Kushairi Azam selaku pengerusi majlis dan seterusnya diserikan lagi dengan persembahan puisi daripada wakil Belia Imtiyaz dan Tausyeh daripada Muslimah Masjid.


Tetamu kehormat kemudian menyampaikan cenderahati kepada mantan imam dan bilal bagi menghargai sumbangan dan jasa mereka.


Ini diteruskan dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan bagi menzahirkan rasa syukur dan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta keluarga baginda dirahmati dan dilanjutkan usia dalam kemuliaan dan kesejahteraan.


Sebagai sebahagian daripada acara sambutan, tetamu kehormat turut merasmikan Revolusi Belia Imtiyaz serta mengadakan lawatan ke Pameran Masjid dan Pameran Belia Imtiyaz.


Sambutan ini bukan sahaja memperingati perjalanan 25 tahun Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebagai pusat ibadat dan pengimarahan syiar Islam, tetapi juga sebagai wadah memperkukuh silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.


Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan wakaf peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memberikan kemudahan tempat beribadat bagi penduduk rancangan perumahan Yayasan Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B' serta penduduk sekitarnya. 


Masjid ini yang telah siap dibina dan mula digunakan pada Jumaat, 27 Oktober 2000. Sejak itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus memberikan sokongan berterusan dalam memperkasa serta mengembangkan pelbagai kegiatan takmir masjid berkenaan.


Close