Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Peguam Negara
MANILA, Sabtu, 15 November. - Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terdiri daripada pegawai-pegawai Pejabat Peguam Negara (PPN) ke Mesyuarat Menteri-menteri Undang-undang ASEAN (ALAWMM) Kali Ke-13 dan Mesyuarat Berkaitan yang diadakan di Manila, Republik Filipina.
ALAWMM Kali Ke-13 yang berlangsung selama dua hari pada 14 dan 15 November 2025 itu dirasmikan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand Romualdez Marcos Jr.
Semasa menyampaikan ucaptama, Tuan Yang Terutama Ferdinand Romualdez Marcos Jr. menekankan bahawa pemeteraian bersejarah Triti ASEAN mengenai Ekstradisi merupakan pencapaian penting dalam memastikan akauntabiliti merentasi sempadan.
Tuan Yang Terutama turut menyeru agar kerjasama diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran baharu, termasuk jenayah siber dan implikasi undang-undang berkaitan Kecerdasan Buatan (AI).
TYT juga menegaskan semula perpaduan ASEAN serta komitmen untuk menegakkan kedaulatan undang-undang sebagai asas kepada keamanan dan kestabilan serantau.
ALAWMM Kali Ke-13 dipengerusikan oleh Pemangku Setiausaha Keadilan Republik Filipina, TYT Frederick A. Vida. Turut hadir, Menteri Undang-undang dan Peguam Negara bagi Negara-negara Anggota ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr. Kao Kim Hourn.
Mesyuarat meninjau kemajuan kerja dalam bidang kerjasama undang-undang dan perundangan sejak ALAWMM Ke-12. Khususnya, penyelesaian perundingan ke atas Triti ASEAN mengenai Ekstradisi dan penandatanganannya pada 14 November 2025 menandakan pencapaian penting dalam kerjasama undang-undang demi membanteras jenayah transnasional, mengukuhkan kedaulatan undang-undang dan keadilan.
Selain itu, pengesahan Kenyataan Bersama oleh Menteri-menteri Undang-undang ASEAN mengenai Pembangunan Timbang Tara dan Mediasi Komersil Antarabangsa pada Forum Undang-undang ASEAN 2025, pada 21 Ogos 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia, merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memajukan timbang tara dan mediasi komersil antarabangsa.
Mesyuarat itu juga menyatakan kejayaan pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2025 dan Blueprints yang berkaitan, serta kemajuan dalam penyelarasan undang-undang perdagangan, pengukuhan kapasiti ASEAN dalam pencegahan jenayah dan keadilan jenayah dan bantuan undang-undang timbal balik dalam hal sivil dan komersil, serta kerjasama dengan Badan Menteri-menteri Sektoral ASEAN lain dalam merealisasikan komuniti ASEAN dan agenda berasaskan peraturan.
Mengimbas pencapaian ALAWMM selama dekad yang lalu, Yang Berhormat Peguam Negara menegaskan bahawa usaha kolektif telah memperkukuh struktur undang-undang ASEAN melalui pembangunan instrumen-instrumen undang-undang penting seperti Model Triti ASEAN mengenai Ekstradisi dan seterusnya Triti ASEAN mengenai Ekstradisi yang mengikat dari segi undang-undang.
Yang Berhormat juga menegaskan bahawa Triti ASEAN mengenai Ekstradisi lebih daripada sekadar instrumen undang-undang; ia adalah manifestasi kepercayaan dan perpaduan ASEAN dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang dan menggalakkan akauntabiliti merentasi sempadan.
Bersama Treaty of Mutual Legal Assistance in Criminal Matters (MLAT), ia mengukuhkan rangka kerja undang-undang serantau ASEAN dalam membanteras jenayah transnasional dan memupuk tataan serantau berasaskan peraturan.
Dalam langkah ke hadapan dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, Yang Berhormat menekankan bahawa tugas ALAWMM untuk memastikan kerjasama undang-undang ASEAN terus berkembang, responsif terhadap inovasi, menyesuaikan diri dengan perubahan termasuk dalam bidang AI, dan tidak goyah dalam usaha mencapai keamanan dan keadilan.
ALAWMM diadakan setiap dua tahun dan merupakan forum utama dengan mandat untuk membincangkan semua perkara berkaitan kerjasama undang-undang, serta melaksanakan keputusan dan cadangan Sidang Kemuncak ASEAN dan Majlis Politikal-Sekuriti ASEAN sebagai sokongan kepada inisiatif integrasi ASEAN.
Sebuah Kenyataan Bersama telah disahkan oleh Menteri-menteri Undang-undang sebagai dokumen hasil Mesyuarat. ALAWMM Ke-14 dan ASLOM Ke-26 akan dihoskan oleh Singapura pada tahun 2027.
Semasa Sidang ALAWMM Ke-13, Yang Berhormat Peguam Negara turut menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Undang-undang ASEAN yang pertama dengan Jepun (ALAWMM - Jepun) yang diadakan pada hari ini di Manila, Filipina.
Mesyurarat ALAWMM - Jepun pertama itu menandakan peningkatan penting dalam kerjasama dan perkongsian antara ASEAN dan Jepun dalam bidang undang-undang dan keadilan ke tahap yang lebih tinggi. Mesyuarat telah memuji inisiatif dan aktiviti bagi melaksanakan Rangka Kerja ASEAN-Jepun mengenai undang-undang dan keadilan.
Telah diakui bahawa usaha bersama ini akan mewujudkan kerjasama yang lebih erat dalam bidang undang-undang dan keadilan, serta meningkatkan pencegahan jenayah pada peringkat transnasional, pembangunan kapasiti, dan bantuan perundangan bersama.