Transformasi ekosistem, peranan jurutera memacu pembangunan negara




Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





GADONG, Sabtu, 15 November. - Kira-kira 150 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei, pemimpin industri, para jurutera serta perwakilan dari sektor awam dan swasta, menghadiri Malam Jurutera 2025 yang berlangsung di The Jade Garden, Aras 2, Centrepoint Hotel, malam tadi. Majlis dianjurkan oleh Institut Jurutera di bawah PUJA Negara Brunei Darussalam.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid. Juga hadir, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.


Presiden Institut Jurutera, Ir. Chin Lee Tuck, dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa sambutan pada tahun ini begitu bermakna dan istimewa berikutan peralihan daripada bekas Bahagian Jurutera kepada identiti baharu yang kini dikenali sebagai Institut Jurutera, PUJA Brunei.


Menurutnya, transformasi tersebut mencerminkan tanggungjawab mereka yang semakin meluas, penglibatan yang dipertingkatkan merentas ekosistem pembinaan serta peningkatan peranan jurutera dalam memacu pembangunan negara.


Ia juga mengesahkan komitmen terhadap kecemerlangan profesional, pengiktirafan serantau serta penjajaran yang lebih rapat dengan piawaian kejuruteraan global.


“Tema kami pada tahun ini 'Transformer' dipilih dengan niat dan tujuan. Secara teknikal, pengubah melaraskan voltan dengan tepat dan stabil, sekali gus mengagihkan kuasa dengan selamat dan cekap.


“Selain itu, ia melambangkan kebolehsuaian, kemajuan dan keupayaan untuk terus meningkatkan. Ia mencerminkan kapasiti bagi mengubah cabaran menjadi peluang, menghubungkan elemen sistem yang berbeza, serta menguatkan potensi," katanya.


Ir. Chin Lee Tuck berkata, industri ini didorong untuk mengubah teknologi digital, memperkukuh kapasiti sumber manusia, dan memajukan amalan pembinaan hijau dan mampan.


Transformasi digital tambahnya, sedang membentuk semula penghantaran projek, daripada BIM dan kembar digital, kepada pengurusan projek dipacu data dan alatan pembinaan pintar.


“Pada masa yang sama, masa hadapan industri kita bergantung kepada orang ramai, kemahiran yang kita bina, kecekapan yang kita perkukuh, dan bakat yang kita pupuk untuk menyokong aspirasi Brunei bagi persekitaran binaan yang lebih inovatif, berdaya tahan iklim dan sedia masa hadapan.


“Sama pentingnya ialah komitmen kita terhadap kemampanan. Pembinaan hijau, sistem cekap tenaga, reka bentuk responsif iklim, dan penggunaan sumber yang bertanggungjawab kini menjadi teras kepada kecemerlangan kejuruteraan moden," ujarnya lagi.


Nilai-nilai itu, jelasnya, diselaraskan sepenuhnya dengan Wawasan Brunei 2035, yang menggambarkan masyarakat berkualiti tinggi yang ditunjangi oleh rakyat berpendidikan dan berkemahiran, serta infrastruktur bertaraf dunia.


Majlis malam itu juga menyaksikan penyampaian beberapa anugerah antaranya kepada Ir. Chin Lee Tuck dan Dayang Siti Zuhairah Brahim; penganugerahan gelaran Ahli Kehormat AFEO kepada Ir. Mohd Isa Ibrahim dan seterusnya pengiktirafan Jurutera ASEAN kepada Ir. Albert Chua.


Terdahulu, Penasihat Menteri, Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional / BAPPENAS, Republik Indonesia, Profesor Ir. Dr. Michael Goutama dalam ucaptamanya antara lain menjelaskan mengenai kerjasama serantau, pertumbuhan mampan, serta kepimpinan yang diperlukan untuk memajukan kecemerlangan kejuruteraan di seluruh Asia Tenggara.


Majlis diakhiri dengan Pameran Projek Tahun Akhir Pelajar (FYP), yang mengetengahkan platform bagi bakat kejuruteraan muda untuk mempersembahkan karya inovatif mereka kepada pemimpin industri dan profesional.


Close