Mesyuarat persediaan Sambutan Jubli Intan Kebawah DYMM menaiki takhta




Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 November. - Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi bersama Jawatankuasa Sektoral Jawatankuasa Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 60 Tahun Menaiki Takhta Tahun 2027, telah diadakan petang tadi di Istana Nurul Iman, di sini.


Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Mesyuarat telah membincangkan mengenai persediaan awal oleh setiap Jawatankuasa Sektoral yang dibentuk dalam memastikan perancangan dan pelaksanaan program serta aktiviti dapat dilaksanakan dengan teratur dan sempurna.


Majlis Sambutan Jubli Intan yang bakal diadakan pada tahun 2027 ini akan mengukir satu lagi sejarah gemilang dalam menyerlahkan keunggulan kesultanan Negara Brunei Darussalam, sekali gus menjadi perhatian dan ristaan mata dunia sebagai simbol keutuhan institusi beraja di negara ini.


Pada masa yang sama, penglibatan seluruh lapisan masyarakat di negara ini mencerminkan rasa kesyukuran dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seorang raja yang tersohor sebagai 'working monarch, caring and visionary leader'.


Turut hadir, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet selaku Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Sektoral Sambutan Jubli Intan; Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri selaku Timbalan-timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sektoral Sambutan Jubli Intan; ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi iaitu Pemangku Grand Chamberlain, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap.

Close