Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 November. - Sidang Kemuncak dan Pameran Pendidikan Tinggi Antarabangsa mengenai Keusahawanan, Inovasi dan Pengkomersialan (IHEEIC 2025) melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup yang diadakan di Dewan Mutiara, Mutiara Exchange, Jerudong baru-baru ini.
Acara dua hari berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan-OAVCIEED) dan disokong oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Kelestarian-OAVCRIS), Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Hadir pada Majlis Penutup berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle. Turut hadir, pegawai utama UBD; rakan kolaborasi tempatan dan antarabangsa; penaja; penceramah; mentor dan para peserta, yang meraikan inovasi berimpak tinggi serta mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam keusahawanan dan pengkomersialan penyelidikan.
Startup Induction Grant di bawah Kategori SEED telah dianugerahkan kepada 'AlphaSense' dan 'Agriboost'; kedua-duanya muncul daripada program UBD's Discovery year Incubation. AlphaSense berhasrat untuk merevolusikan pendidikan literasi awal melalui sensor terbina dalam yang menjana maklum balas audio dan kontras visual yang tinggi untuk pelajar penglihatan rendah.
Manakala Agriboost pula ialah tong biokonversi Internet of Things (IoT) di lokasi yang mengubah sisa organik menjadi baja organik, sekali gus mengurangkan kebergantungan Negara Brunei Darussalam (NBD) terhadap input import dan kos pelupusan. Setiap pasukan pemenang daripada kategori berkenaan menerima BND1,000.
Bagi Accelerator Category, 'CircularEat' dan 'Simulated Pharmacy Centre' masing-masing menerima BND3,000. CircularEat yang dihasilkan melalui program Venture Lab merupakan sebuah platform yang menyalurkan lebihan makanan dari restoran dan pasar kepada tawaran pada saat akhir yang berpatutan dan sumbangan yang disasarkan.
Diiktiraf di bawah pertandingan ASEAN Data Science Explorers, projek berkenaan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rangka kerja ASEAN Blueprint Framework.
Simulated Pharmacy Centre, yang diketuai oleh Dr. Valeria Shang dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD ialah kemudahan farmasi simulasi pertama di NBD yang menyediakan latihan praktikal dalam ketepatan penyediaan ubat, pembuatan keputusan klinikal serta komunikasi berpusatkan pesakit sambil mengintegrasikan amalan kelestarian yang sejajar dengan SDG PBB 3, 4, 9 dan 12.
Pada majlis tersebut, IHEEIC 2025 memperkenalkan Venture Pitch Award (VPA) utama, yang direka untuk memperkasa pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan paten, sekali gus memperkukuh hala tuju strategik universiti ke arah mewujudkan lebih banyak syarikat sampingan berasaskan inovasi penyelidikan.
Tiga pemenang Kategori Pre-Patent teratas ialah 'Technology Meets Biology : C. elegans as a Tool for Understanding Human Diseases' yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Hajah Mas Rina Wati binti Haji Abdul Hamid dari PAPRSB IHS, UBD; 'IoT-Based Water Quality Monitoring Systems in Relation to Flood and Drought in Brunei' yang diketuai oleh Dr. Hajah Wida Susanty binti Haji Suhaili dari Universiti Teknologi Brunei (UTB); dan 'A Novel Integration of Virtual Reality and Psychospiritual Coaching (Ar-Rahmah' yang diketuai oleh Dr. Mona Kassim, seorang pengamal Neuro-Linguistic Programming (NLP) dan pengasas MuBn Learning and Growth Company.
Para pemenang menerima Geran Penyelidikan Kelestarian bernilai BND10,000 daripada OAVCRIS, UBD serta hadiah wang tunai bernilai BND1,000.
Sementara bagi Kategori Post-Patent, tiga projek terbaik ialah 'Anti-Bacterial and Anti-Fungal Photocatalytic Coating Film and Method for Producing' yang diketuai oleh Dr. Haji Mohammad Redza bin Haji Husin dari UBD; manakala 'GoSwiet' yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Liza binti Md. Salleh dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan minyak biji Swietenia Mahagoni gred premium yang diekstrak menggunakan teknologi hijau Superkritikal CO₂; sementara 'BreSih' yang diketuai oleh Dr. Asmah Husaini dari PAPRSB IHS, UBD, iaitu suatu sistem bekas najis pesakit yang inovatif dan berpusatkan pesakit, menampilkan bekalan air serta mekanisme saliran terbina dalam dalam reka bentuk boleh mengembang yang ergonomik. Para pemenang menerima hadiah wang tunai BND2,000 setiap seorang.
Manakala, Venture Pitch Award mewakili satu pencapaian penting dalam mempercepatkan laluan pengkomersialan untuk penyelidikan universiti. Inisiatif berkenaan menyokong objektif institusi untuk memupuk ekosistem keusahawanan, mengubah penyelidikan canggih menjadi penyelesaian sedia pasaran, dan menubuhkan syarikat sampingan, memperkasa penyelidik untuk menterjemahkan penemuan mereka kepada produk dan perkhidmatan yang berimpak dalam menangani cabaran dunia sebenar.
IHEEIC 2025 berjaya menunjukkan kuasa kolaborasi, inovasi dan keusahawanan dalam memajukan kecemerlangan pendidikan tinggi dan mewujudkan penyelesaian yang mampan untuk menangani cabaran serantau dan global.