Memantapkan kerjasama perundangan serantau tangani jenayah rentas negara



Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Peguam Negara






MANILA, Jumaat, 14 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menandatangani Triti ASEAN mengenai Ekstradisi bersama 10 Anggota Negara ASEAN semasa acara sampingan Mesyuarat Menteri-menteri Undang-undang ASEAN Ke-13 (ALAWMM) yang berlangsung pada 14 hingga 15 November 2025 di Manila, Republik Filipina.


Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib, selaku Pihak Berkuasa NBD bagi perkara-perkara ekstradisi menandatangani Triti berkenaan bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Penandatanganan Triti berkenaan menandakan pencapaian bersejarah dan hasil yang penting di bawah ASEAN Political-Security Community Blueprint 2025 and the ASEAN Political-Security Plan in ASEAN Community Vision 2045 : Our Shared Future.


Triti berkenaan mengukuhkan ketahanan dan keupayaan ASEAN bagi menghormati dan menegakkan kedaulatan undang-undang di samping memerangi jenayah rentas sempadan, meningkatkan ketelusan prosedur, dan memperkemas proses ekstradisi dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.


Selain itu, Triti berkenaan juga merupakan langkah penting ke arah usaha ASEAN mewujudkan rangka kerja perundangan yang lebih kukuh untuk kerjasama dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan ekstradisi dan memastikan pelaksanaannya.


Penandatanganan Triti berkenaan menekankan komitmen NBD untuk memantapkan kerjasama perundangan serantau dalam menangani jenayah rentas negara.


Sebelum ini, Model Triti ASEAN mengenai Extradisi (MAET) yang bersifat tidak mengikat dari segi undang-undang telah diterima pakai semasa Mesyuarat Menteri-menteri Undang-undang ASEAN Ke-10 pada Oktober 2018.


Close