Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 November. - Hari Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (HBY 2025) merupakan platform perniagaan bagi mengenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh para Usahawan Bakarih Yayasan (UBY), iaitu para pengusaha yang dilahirkan melalui program bantuan modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).
Sehubungan dengan itu, Majlis Pelancaran HBY 2025 telah berlangsung di Kompleks YSHHB, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya melancarkan HBY 2025, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan YSHHB.
Penganjuran HBY kali keempat berkenaan merupakan inisiatif YSHHB bagi menyediakan ruang strategik sebagai sokongan kepada para pengusaha tempatan khususnya UBY dalam mengukuhkan portfolio perniagaan dan meluaskan rangkaian pemasaran produk mereka.
Seramai 21 peserta UBY yang mengusahakan pelbagai perusahaan menyertai aktiviti jualan sepanjang HBY 2025 berlangsung selama dua minggu, iaitu bermula hari ini sehingga 30 November 2025, dari jam 4.00 petang hingga 9.00 malam, di Khemah Jualan HBY 2025, Open Plaza, Kompleks YSHHB, Bandar Seri Begawan.
Selain daripada aktiviti jualan, pelbagai aktiviti menarik juga disediakan bagi para pengunjung seperti Fun Fair, Kuiz Kenali Negara Kitani (KNK), Fitness Challenge, Face Painting, Henna Painting, Peraduan Mewarna, Kempen Derma Darah, Matcha and Handicraft Workshop, persembahan muzik, Pet and Reptile Show, serta aktiviti tradisional 'Bamukun'.
Sebahagian daripada pendapatan acara Fun Fair dan bengkel akan disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA).
Orang ramai juga dialu-alukan hadir dan memeriahkan HBY bagi menyokong para pengusaha tempatan daripada golongan sasaran YSHHB yang berpaksikan semangat 'Mau Bakarih, Sanggup Bajarih Untuk Balurih'.
YSHHB ditubuhkan sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli keluarga baginda, iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.