Siaran Akhbar dan Foto : Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 November. - Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (Austrade) bersama Kementerian Kewangan dan Ekonomi menganjurkan Forum dan Majlis Perkongsian Perniagaan di ibu negara, hari ini.
Forum ini mempertemukan pemimpin-pemimpin perniagaan dan kerajaan kanan untuk mengukuhkan hubungan perniagaan antara Australia dengan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai sebahagian daripada Misi Perkongsian Agribisnis Strategik Australia 2025 ke NBD.
Acara tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, selaku tetamu kehormat.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat menekankan, bagi menghadapi zaman yang tidak menentu ini, kita semakin perlu bergantung kepada rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk memastikan pertumbuhan masa hadapan.
Beliau menambah, dalam momentum serantau ini, pihaknya mengalu-alukan 'Strategi Ekonomi Asia Tenggara hingga tahun 2040' oleh Australia yang menandakan komitmen teguh untuk memperkukuh penglibatan merentas perdagangan, pelaburan, inovasi dan kesalinghubungan.
Di bawah 'Strategi Ekonomi Asia Tenggara hingga tahun 2040', Australia membantu perniagaan di negara itu untuk berhubung dengan peluang ekonomi di NBD yang dinamik serta keutamaan Wawasan Brunei 2035.
Eksport makanan berkualiti Australia ke Brunei terus berkembang yang menjadi input penting kepada sektor pembuatan makanan NBD yang berkembang.
Pengurus Besar, Trade Diversification Taskforce of Austrade, Jay Meek menjelaskan, Australia telah lama menjadi pembekal produk agrimakanan kepada Brunei yang membantu menyokong keselamatan makanan negara ini dan mereka berhasrat untuk melihat perdagangan ini terus berkembang.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) Daniel Leong dalam ucapannya turut menekankan, skala NBD membolehkan mereka mengumpulkan pemain industri dengan efisien dan mewujudkan persekitaran yang tangkas untuk inovasi dan perkongsian rantaian nilai.
“Bagi syarikat yang ingin mencuba penyelesaian dan mengembangkan perniagaan secara serantau, Brunei tetap menjadi pilihan yang boleh dipercayai dan strategik," katanya.
Forum ini menutup minggu produktif dengan pelbagai penglibatan yang menonjolkan keakraban serta kekuatan hubungan agrimakanan antara Australia dan NBD, di samping menyediakan platform bagi kerjasama merentas rantaian nilai sektor agrimakanan.