10 peserta mara peringkat akhir Musabaqah Membaca Al-Quran





Oleh : Aimi Sani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morsidi






BERAKAS, Khamis, 13 November. - Seramai 10 peserta, iaitu lima qari dan lima qariah berjaya mara ke Peringkat Akhir Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi setelah menamatkan pertandingan di Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M yang diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula pada 10 hingga 12 November 2025.


Musabaqah berkenaan telah menarik penyertaan seramai 68 peserta terdiri daripada 54 qari dan 14 qariah yang telah memperdengarkan bacaan masing-masing di musabaqah tersebut.


Sehubungan dengan itu, Majlis Pengumuman Keputusan bagi musabaqah berkenaan diadakan petang tadi, bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.


Turut hadir, Ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Sellahuddin; Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim dan Pengerusi-pengerusi Bersama, ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan KHEU.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Kasat, Awang Afiq Haririe bin Haji Md. Daud, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pentadbiran, Jabatan Pentadbiran, KHEU, Awang Haji Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali selaku Pengerusi Bersama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M.


Majlis diteruskan dengan pengumuman keputusan musabaqah oleh Timbalan Pengetua, Diploma 'Aliyah Qira'at, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Mohd. Ali Sabri bin Haji Yusof yang juga selaku Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M.


Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid bertajuk 'Negara Zikir Amalkan Al-Quran' oleh Kumpulan Firqah Al-Khalil dan disusuli dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh wakil peserta yang terpilih ke peringkat akhir.


Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para peserta dan ahli jemaah hakim musabaqah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Afiq Haririe.


Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan merupakan projek tahunan KHEU yang dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan peringkat saringan kebangsaan, diikuti dengan peringkat separuh akhir dan seterusnya peringkat akhir kebangsaan.


Penganjurannya bertujuan untuk memberi pendedahan dan dorongan kepada para qari dan qariah negara dalam mempertingkatkan mutu bacaan Al-Quran, menggalakkan masyarakat Islam di negara ini mendalami ilmu tajwid dan kaedah bacaan yang betul, serta memupuk kecintaan terhadap Al-Quran sebagai panduan hidup.


Dengan penganjuran musabaqah berkenaan juga diharap ia terus menjadi platform yang berprestij dalam melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti serta memperkukuh usaha negara dalam memartabatkan syiar Islam dan penghayatan Al-Quran di Negara Brunei Darussalam.


Close