Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 November. – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) Negara Brunei Darussalam (NBD) berkenan berangkat ke Majlis Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Sedunia bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pengerusi MKKJR; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku Timbalan Pengerusi MKKJR; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, selaku Ahli MKKJR; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Ahli MKKJR; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar selaku Setiausaha MKKJR.
Yang Teramat Mulia turut berkenan menandatangani lembaran kenangan keberangkatan sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Sedunia bagi Tahun 2025.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Semasa majlis berkenaan, YTM berkenan mengurniakan Sabda Khas dan seterusnya melancarkan 'Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030' atau 'Road Safety Action 2030', terbitan MKKJR.
'Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030' berkenaan menggantikan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2025 dan mentakrifkan matlamat serta hasil yang ingin dicapai, dengan tindakan-tindakan khusus yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030 bagi memperkukuh keselamatan jalan raya di NBD.
Selain itu, ia juga merupakan tindak balas terhadap trend kemalangan dan kadar korban nyawa akibat kemalangan jalan raya, seiring dengan usaha negara untuk mewujudkan sistem jalan raya yang lebih selamat, berdaya tahan dan berkesan untuk semua pengguna.
YTM kemudiannya berkenan menyaksikan persembahan Bicara Berirama daripada para pemenang pertandingan Bicara Berirama, iaitu Sekolah Freda Radin, johan bagi Kategori Sekolah Rendah, serta Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, johan bagi Kategori Sekolah Menengah.
Sebanyak 27 buah sekolah rendah dan 11 buah sekolah menengah menyertai pertandingan berkenaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan sebagai salah satu inisiatif Kumpulan Tindakan Penyelidikan dan Perkembangan (KTPP), MKKJR.
Turut hadir, Ketua-ketua Perwakilan Asing ke NBD, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ahli-ahli MKKJR, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil sektor swasta, Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs), sekolah-sekolah memandu serta institusi-institusi pendidikan.
Manakala pada sebelah petang, turut diadakan dua sesi forum bertajuk 'Every Life Counts : Break the Trend, Aim for Zero Fatality'; dan 'SMART Shift for Shaping Safety in Heavy Vehicle', yang antara lain membincangkan strategi keselamatan jalan raya berasaskan data, hasil penilaian BruRAP2, serta langkah-langkah memperkukuh pengurusan keselamatan kenderaan berat melalui teknologi pintar seperti In-Vehicle Monitoring System (IVMS).
Sementara itu, Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Sedunia merupakan inisiatif antarabangsa yang disambut dalam minggu ketiga November setiap tahun.
Ia bertujuan untuk memperingati mangsa-mangsa kemalangan jalan raya serta keluarga mereka yang turut terkesan akibat tragedi berkenaan.
Bertemakan 'Watch Your Speed, Watch the Road', sambutan tahun ini menekankan pentingnya kesedaran terhadap kepatuhan had laju, berhati-hati semasa memandu serta menghormati hak setiap individu untuk menikmati perjalanan yang selamat di jalan raya.
Nilai berkenaan turut mencerminkan prinsip kesejahteraan dan kesaksamaan yang selaras dengan Maqasid Syariah.
Dalam kesempatan berkenaan, MKKJR menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu mengikut had laju yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.
Setiap pemandu juga diingatkan untuk tidak memandu secara cuai, melampaui had kelajuan, dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, kerana tindakan sedemikian bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh mengancam nyawa orang lain.
Sikap berhemah, berdisiplin dan menghormati undang-undang jalan raya merupakan asas kepada pembentukan budaya pemanduan yang selamat di NBD serta cerminan tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan di jalan raya.