Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Jabatan Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat mengadakan Keberangkatan Negara ke Hungary pada 18 November 2025 atas undangan Presiden Hungary, Tuan Yang Terutama Dr. Tamás Sulyok.
Semasa di Budapest nanti, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijangka akan mengadakan Majlis-majlis Perjumpaan secara berasingan bersama Tuan Yang Terutama Presiden Hungary; dan Perdana Menteri Hungary, Tuan Yang Terutama Viktor Orbán, bagi mengeratkan hubungan dua hala dan seterusnya mempertingkatkan lagi kerjasama dalam bidang yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.
Keberangkatan Negara ini merupakan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia buat pertama kalinya ke Hungary. Sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada 21 Januari 1992, kedua-dua buah negara telah menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala yang erat, termasuk melalui hubungan dialog ASEAN-Kesatuan Eropah.
Keberangkatan ini akan memberikan peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan mengenai hubungan dua hala serta isu-isu antarabangsa yang berkepentingan bersama.