15 pegawai PPDB ditetapkan pangkat Inspektor



​​

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei






GADONG, Rabu, 12 November. - Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 15 orang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berpangkat Inspektor Percubaan telah diperkenankan untuk ditetapkan pangkat sebagai Inspektor berkuat kuasa mulai 10 November 2025.


Sehubungan itu, satu majlis telah diadakan bagi meraikan penetapan pangkat pegawai-pegawai berkenaan yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin. Turut berangkat, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; pengarah-pengarah, timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan PPDB serta keluarga pegawai-pegawai yang ditetapkan pangkat.


Bagi memberkati majlis, atur cara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd. Yusri bin Haji Abu Bakar.


Majlis diteruskan dengan penyampaian penetapan pangkat dan sesi bergambar ramai bersama pegawai-pegawai serta keluarga, sebelum majlis berakhir. PPDB berharap semoga dengan penetapan pangkat ini akan dapat menjadi inspirasi kepada pegawai-pegawai untuk terus berkhidmat dan memberikan yang terbaik kepada pasukan. 


Close