Oleh : Khartini Hamir / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohammad Hasif Matzin
PENGKALAN BATU, Rabu, 12 November. - Wasan Milling Company Sendirian Berhad (WMC) adalah sebuah entiti di bawah Darussalam Assets Sdn. Bhd. yang komited menyumbang kepada sekuriti makanan negara melalui aktiviti pengisaran dan pemprosesan beras tempatan.
WMC juga berdedikasi menyokong industri beras Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan bekerjasama bersama komuniti pertanian tempatan bagi mempromosikan pertumbuhan dan pembangunan.
Bagi menandakan kemajuan penting negara dalam usaha mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras, projek pembinaan menaik taraf fasiliti pengisaran padi telah bermula pada Mei 2023 dan siap sepenuhnya pada September 2025.
Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan Fasiliti yang dinaik taraf bagi Pengisaran Padi Syarikat WMC yang terletak di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan.
Berangkat sama paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, selaku Pengerusi Syarikat Darussalam Assets Sdn. Bhd., bersama Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pemangku Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Dato Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung bagi merasmikan pembungkusan beras baharu Syarikat WMC dan seterusnya mendengarkan sembah penerangan daripada Syarikat WMC mengenai latar belakang Syarikat WMC dan papan maklumat mengenai proses pengeringan padi.
Sejurus selesai, baginda berserta kerabat diraja dijunjung untuk bercemar duli bagi memulakan lawatan ke fasiliti-fasiliti yang dinaik taraf bermula dari fasiliti pengeringan padi (vertical dryer) dan penyimpanan padi (silo), bermula dari kawasan jambatan timbang.
Sementara itu di kawasan pengisaran padi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyaksikan tayangan video ringkas mengenai proses pengisaran serta sembah penerangan mengenai mesin-mesin pengisaran, sebelum meneruskan lawatan ke kawasan pembungkusan beras.
Terdahulu, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja, dijunjung untuk sesi bergambar ramai bersama dengan Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet; Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri; Lembaga Pengarah Syarikat WMC; Pengurusan Syarikat WMC dan kakitangan Darussalam Assets Sdn. Bhd.
Pada majlis tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan mengunjungi pameran-pameran syarikat-syarikat tempatan yang antara lain mempamerkan penggunaan Pertanian Pintar (Smart Farming) dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) di sektor pertanian di negara ini.
Inisiatif ini menggambarkan usaha berterusan sektor pertanian tempatan dalam mengadaptasi teknologi moden bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti serta kemampanan industri pertanian di NBD.
Sebelum mengakhiri lawatan, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja sekali lagi dijunjung untuk sesi bergambar ramai bersama dengan pegawai dan kakitangan Syarikat WMC.
Di ruang utama Kem Santap, baginda dijunjung untuk menandatangani plak dan berkenan menerima pesambah daripada Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II selaku wakil Syarikat WMC.
Dengan adanya fasiliti yang dinaik taraf ini, ia akan dapat meningkatkan kapasiti pengisaran padi negara daripada tiga tan metrik sejam kepada 10 tan metrik sejam, yang dijangka akan dapat menyumbang secara signifikan kepada peningkatan tahap sara diri negara untuk beras daripada lapan peratus kepada 20 peratus menjelang tahun 2027.
Fasiliti ini juga akan dapat menyokong sasaran keselamatan makanan (food security) di NBD dengan mengurangkan kebergantungan terhadap beras yang diimport, serta mencapai aspirasi negara.
Ini adalah penting kerana kebergantungan negara terhadap beras import menimbulkan risiko yang besar terhadap keselamatan makanan, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan iklim.
Melalui fasiliti ini juga akan dapat mengukuhkan lagi rantaian nilai pertanian negara dan menjamin masa depan makanan yang lebih teguh untuk generasi akan datang.
Pada masa ini, fasiliti pengisaran WMC dikendalikan 100 peratus oleh anak tempatan, di mana sejak penubuhannya pada tahun 2022, syarikat telah mengambil pekerja seramai 87 anak tempatan.
Juga hadir di majlis perasmian tersebut, Timbalan-timbalan Menteri; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Duta-duta Besar Istimewa dan Mutlak ke Negara Brunei Darussalam; Setiausaha-Setiausaha Tetap; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan para jemputan.
