Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
SUNGAI HANCHING, Khamis, 6 November. - Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Perasmian Program B.E.S.T (Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab) serta Pelancaran Buku Peraturan dan Garis Panduan Disiplin bagi Sekolah-sekolah Rendah, Menengah, Maktab, Pusat Tingkatan Enam dan Asrama Kerajaan bertempat di Pusat Membeli Belah OneCity, hari ini.
Perasmian program dan pelancaran buku berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku tetamu kehormat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Sammali bin Haji Adam.
Terdahulu, Pemangku Ketua Bahagian Kaunseling, Dr. Hajah Dayang Nor Zaiham Midawati binti Haji Abdullah, dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa dengan kemajuan pesat dalam teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI), para pelajar kini semakin terdedah kepada pelbagai risiko keganasan dalam talian (online violence) yang didorong oleh teknologi.
Bentuk keganasan ini jelasnya, merangkumi perlakuan buli, termasuk buli siber dan keganasan terhadap jantina (gender-based violence) yang melibatkan penggunaan teknologi, yang kini melangkaui sempadan bilik darjah dan berlaku dalam ruang digital.
“Kesan daripada buli siber boleh menjejaskan emosi, kesihatan mental, serta masa depan pelajar. Justeru itu, kesedaran tentang buli siber amat penting dalam usaha mendidik masyarakat, khususnya pelajar dan tidak terkecuali juga para pendidik dan masyarakat, agar menggunakan media sosial dengan lebih berhemah, beretika serta mewujudkan persekitaran digital yang selamat, sihat dan bebas daripada buli siber," ujarnya.
Majlis disusuli dengan Pelancaran Buku Peraturan dan Garis Panduan Disiplin bagi Sekolah-sekolah Rendah, Menengah, Maktab, Pusat Tingkatan Enam dan Asrama Kerajaan, Kementerian Pendidikan 2025 oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis diteruskan dengan forum B.E.S.T dan diakhiri dengan penyampaian sijil kepada agensi yang terlibat dalam penghasilan buku berkenaan serta penyampaian sijil dan cenderahati kepada ahli panel dan moderator forum B.E.S.T.
Program selama tiga hari ini menampilkan pameran mengenai Program B.E.S.T pada 6 hingga 8 November 2025 dan disertai oleh 24 peserta dari agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan; Institusi-institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta serta persatuan-persatuan yang terlibat.
Program B.E.S.T merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan bagi membendung dan mencegah gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah.
Dengan tema 'Skrin Pintar : Mempelajari Cara Untuk Kekal Selamat Dalam Era Digital', program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan melalui penyebaran maklumat khusus untuk mendidik pelajar mengawal diri.
Ia juga bertujuan untuk mendedahkan mereka mengenai bahaya serta kesan buli, selain melahirkan pelajar yang berdisiplin, saling menghormati serta mempunyai keperibadian dan akhlak yang baik.
Turut hadir pada majlis perasmian Program B.E.S.T tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Pendidikan; ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan serta pemimpin-pemimpin sekolah, guru-guru dan pelajar.