Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohamad Hasif Matzin
BOLKIAH GARISON, Khamis, 6 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel, yang berkuat kuasa mulai 8 Ogos 2025.
Sehubungan itu, pengurniaan lencana pangkat tersebut berkenan disempurnakan oleh paduka ayahanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini.
Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Turut berangkat pada Majlis Kenaikan Pangkat tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam.
Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Padang Kawad Blok Menara, Kementerian Pertahanan dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei, sebelum dijunjung berangkat ke Mes Pegawai Bolkiah Garison.
Sejurus tiba di Mes Pegawai Bolkiah Garison, baginda berkenan mengurniakan lencana pangkat kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Baginda turut berkenan mengurniakan lencana pangkat kepada 18 orang pegawai ABDB yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel / Komander, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB). Kenaikan pangkat tersebut berkuat kuasa mulai 8 Ogos 2025. Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Sejurus selepas pengurniaan pangkat, baginda bersama paduka-paduka anakanda baginda dijunjung bagi Santap Ringan bersama pegawai-pegawai kanan ABDB yang dinaikkan pangkat.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dan paduka-paduka anakanda baginda dijunjung bagi sesi bergambar ramai kenangan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Pemerintah Angkatan Bersama dan para pegawai kanan yang dinaikkan pangkat dan juga berkenan menandatangani Lembaran Keberangkatan.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen merupakan seorang Pegawai Tentera yang profesional dan berdedikasi, ditauliahkan dari Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.
Duli Yang Teramat Mulia merupakan seorang juruterbang bertauliah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), penerima Lencana Juruterbang Royal Air Force (RAF) dan Lencana Juruterbang TUDB serta berkelayakan menerbangkan pesawat S70i Blackhawk.
DYTM merupakan anggota Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB sejak 28 Oktober 2019, dan berjaya menamatkan All Arms Commando Course (AACC) di Commando Training Centre Royal Marines (CTCRM), Lympstone, United Kingdom pada bulan Disember 2021, melayakkan DYTM menerima Beret Hijau.
Pada bulan Julai 2025, DYTM telah menamatkan Advanced Command and Staff Course (ACSC) di United Kingdom Defence Academy, Shrivenham, sekali gus memperkukuh pendidikan ketenteraan profesional dan keupayaan kepimpinan DYTM sebagai Pegawai Kanan ABDB.





.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)


