Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Isnin, 3 November. - Sidang Kemuncak Baiduri Momentum tahunan ini telah berkembang menjadi sebuah forum penting untuk menentukan hala tuju bukan sahaja bagi pasaran kewangan, tetapi juga untuk memahami bagaimana perubahan struktur dalam ekonomi global membentuk cara berdagang, melakukan pelaburan dan bekerjasama di masa hadapan.
Dengan bertemakan, 'Geo-Economic Fragmentation', ia menggambarkan cabaran paling signifikan dalam era global masa kini. Di peringkat dunia, persaingan strategik, sekatan perdagangan dan pembangunan ekosistem teknologi yang berbeza sedang mengubah bentuk globalisasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah berucap sedemikian pada Sidang Kemuncak Baiduri Momentum 2025 yang berlangsung di Indera Samudra, The Empire Brunei, hari ini.
Yang Berhormat seterusnya menambah, rantaian bekalan kini lebih tertumpu di rantau masing-masing, pelaburan dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan dan negara-negara sedang mencari keseimbangan antara keterbukaan ekonomi dan daya tahan mereka.
“Walaupun sebahagian daripada pemecahan mungkin sukar dielakkan, pembuat dasar perlu menguruskan risiko dengan bijak sambil memastikan manfaat daripada keterhubungan global tidak hilang.
“Bagi ekonomi kecil dan terbuka di Negara Brunei Darussalam (NBD), ini bermakna memperkukuh asas ekonomi, mengeratkan kerjasama serantau dan mengekalkan ketahanan dasar untuk menghadapi perubahan global yang berterusan.
“Dalam persekitaran ini, NBD terus konsisten dalam usaha kepelbagaian ekonominya. Berpandukan Wawasan Brunei 2035 dan Rangka Tindakan Ekonomi, tumpuan negara kekal pada memperluas asas ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta memperkasa sektor swasta agar menjadi pemacu pertumbuhan yang lebih kukuh," terang Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, NBD terus menumpukan lima kluster utama iaitu makanan, pelancongan, ICT, perkhidmatan dan industri hiliran sambil mengembangkan sokongan untuk inovasi, transformasi digital dan pembangunan perusahaan. Pendekatan ini, kekal berhati-hati dan berpandangan ke hadapan untuk memastikan NBD terus berhubung secara global, berintegrasi di peringkat serantau dan berdaya saing.
Matlamat ini, kongsi Yang Berhormat, bukan sahaja untuk mengekalkan pertumbuhan tetapi untuk mencapai pertumbuhan berkualiti yang inklusif, lestari dan mampu menahan ketidakstabilan luaran.
Pemecahan geo-ekonomi ujar Yang Berhormat membawa risiko gangguan perdagangan dan peningkatan kos, tetapi juga peluang bagi negara kecil untuk menonjol dalam 'niche' seperti keselamatan makanan, perdagangan digital, tenaga boleh diperbaharui dan kewangan Islam, di mana ketahanan dan kerjasama lebih bernilai daripada saiz ekonomi.
Yang Berhormat dalam ucapannya seterusnya menyatakan pihak kerajaan mengakui bahawa mencapai pertumbuhan yang lestari dan bersifat adaptif memerlukan perkongsian awam - swasta yang kukuh.
Sektor swasta jelas Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II bukan sahaja merupakan pemacu pertumbuhan, tetapi juga rakan dalam transformasi negara. Dengan bekerjasama rapat dengan perniagaan, institusi kewangan dan para inovator, kerajaan bertujuan mewujudkan persekitaran di mana idea dapat berkembang, pelaburan dapat diperluas dan peluang pekerjaan dapat meningkat.
“Institusi seperti Bank Baiduri memainkan peranan penting, bukan sekadar sebagai saluran modal, tetapi juga sebagai rakan dalam inovasi. Dengan inisiatif yang menyokong Perusahaan, Kecil dan Sederhana (PKS), pendigitalan dan pembiayaan hijau, sektor kewangan membantu menjambatani dasar dengan pelaksanaan, membolehkan perusahaan menyesuaikan diri, berkembang dan berjaya.
“Dalam semangat kerjasama dan inovasi ini, Kecerdasan Buatan (AI) muncul sebagai pemacu transformasi terbesar untuk pertumbuhan global. Kami mendorong perniagaan memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi, sambil menggunakannya secara bertanggungjawab untuk mengekalkan kepercayaan dan keselamatan. Dengan kerjasama awam-swasta yang kukuh, AI berupaya meningkatkan kecekapan, daya saing dan pertumbuhan lestari di seluruh ekonomi," ujar Yang Berhormat.
Kongsi Yang Berhormat, kekuatan ASEAN terletak pada kesepaduan dan pragmatism di mana NBD menyokong inisiatif seperti ASEAN+3 dan RCEP untuk mengekalkan kepimpinan rantau dalam perdagangan dan kerjasama kewangan berasaskan peraturan.
NBD tekan Yang Berhormat lagi akan terus memperkukuh institusi, membangunkan insan dan memupuk kerjasama awam-swasta untuk mengoptimakan teknologi dan inovasi. Pendekatan ini memastikan negara kekal tangguh, terhubung dan bersedia menghadapi peluang masa depan.
“Menjelang 2026, jalan ke hadapan mungkin mencabar, namun ia penuh dengan peluang. Pemecahan geo-ekonomi tidak semestinya bermakna kemerosotan tetapi ia boleh menjadi pemangkin bagi inovasi, pembaharuan dan kerjasama. Tugas kita ialah kekal teguh pada visi, fleksibel dalam tindak balas dan bersatu dalam tujuan.
“Marilah kita memanfaatkan sidang kemuncak ini untuk bertukar idea secara terbuka, memperkukuh kerjasama dan menegaskan semula komitmen kolektif terhadap kemajuan. Bersama-sama, kita boleh memastikan NBD bukan sahaja menyesuaikan diri dengan perubahan, tetapi turut memainkan peranan dalam membentuknya dengan keyakinan, kesatuan dan tujuan yang jelas," ujar Yang Berhormat mengakhiri ucapannya.