JPMC, Gleneagles JPMC terima kunjungan Perdana Menteri Republik Singapura



Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





 

JERUDONG, Isnin, 3 November. - Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dan Gleneagles JPMC mengalu-alukan kunjungan hormat daripada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong ke Pusat Perubatan berkenaan, petang tadi.


Ketibaan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura dialu-alukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Gleneagles JPMC.


Mengiringi rombongan dari Republik Singapura ialah Menteri Pembangunan Negara, Tuan Yang Terutama Chee Hong Tat; Menteri Negara Kanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga Manusia, Tuan Yang Terutama Dr. Koh Poh Koon; Menteri Negara, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital dan Kementerian Pendidikan, Puan Yang Terutama Jasmin Lau; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Laurence Bay; Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, Ms. Goh Hanyan; dan Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Negara, Dr. Syed Harun Alhabsyi.


Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Menteri Pengiring; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.


Tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau secara langsung kemudahan penjagaan kesihatan dan rawatan, serta memahami pelbagai perkhidmatan perubatan dan kepakaran yang disediakan di JPMC serta rawatan jantung di Gleneagles JPMC.


TYT Lawrence Wong dan rombongan telah diberikan taklimat mengenai JPMC, Gleneagles JPMC, serta pembentangan mengenai Pioneering Citizen-centric Health Transformation in Brunei Darussalam (Perintis Transformasi Kesihatan Berpusatkan Rakyat di NBD).


TYT kemudian berpeluang melawat kemudahan moden di JPMC yang berpusat di Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre (BNSRC) dan The Brunei Cancer Centre (TBCC), khususnya Bilik Terapi Robotik dan Jabatan Perubatan Nuklear.


Di BNSRC, Jabatan Perubatan Pemulihan menggunakan teknologi pemulihan robotik yang inovatif bagi membantu pesakit pulih daripada kecacatan dan mengubahnya menjadi peluang.


Antara teknologi tersebut ialah sistem Armeo dan Lokomat iaitu satu-satunya sistem pemulihan robotik seumpamanya di rantau ini.


Peranti canggih ini menyokong pesakit yang mengalami keadaan neurologi dan muskuloskeletal dengan membimbing pergerakan mereka serta menyediakan terapi pemulihan intensif yang disasarkan.


Direka untuk meningkatkan hasil pemulihan pesakit, sistem Armeo dan Lokomat membantu memulihkan fungsi, meningkatkan mobiliti, dan mempercepatkan proses pemulihan melalui terapi berulang yang berpaksikan data.


Di TBCC pula, rombongan melawat Jabatan Perubatan Nuklear yang memainkan peranan penting dalam diagnosis dan rawatan.


Jabatan ini menghasilkan isotopnya sendiri setiap hari menggunakan cyclotron dalaman, menjadikan JPMC antara pengeluar isotop terhad di Asia Tenggara.


Ia membekalkan isotop Fluorine-18 dan Gallium-68 untuk digunakan dalam imbasan PET dan SPECT, sebuah alat pengimejan berkuasa tinggi yang membolehkan pengesanan penyakit secara awal dan tepat.


Lawatan kemudian diteruskan ke Gleneagles JPMC, di mana TYT melawat Makmal Kardiovaskular hospital yang dilengkapi teknologi pengimejan biplane terkini, serta berinteraksi dengan para doktor dan kakitangan.


Kunjungan hormat ini menekankan kepentingan pertukaran amalan terbaik dalam perkhidmatan perubatan khusus, menangani cabaran kesihatan awam bersama, dan mempromosikan inovasi penjagaan kesihatan di rantau ini.


Ia juga menjadi platform berharga untuk memperkukuh hubungan sedia ada antara NBD dan Republik Singapura dalam industri penjagaan kesihatan.


06 (12).jpg


07 (12).jpg



Close