Perdana Menteri Republik Singapura tiba di Negara Brunei Darussalam





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin

 






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 November. - Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, serta rombongan, tiba di Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) NBD dan Republik Singapura Kali Ke-11 yang berlangsung selama dua hari pada 3 hingga 4 November 2025.


Sejurus ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, di sini, Tuan Yang Terutama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura diberi penghormatan dengan Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).


Tuan Yang Terutama dialu-alukan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Menteri Pengiring; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.


Menyertai rombongan TYT ialah Menteri Pembangunan Negara, TYT Chee Hong Tat; Menteri Negara Kanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga Manusia, TYT Dr. Koh Poh Koon; Menteri Negara, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital dan Kementerian Pendidikan, Puan Yang Terutama Jasmin Lau; Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, Goh Hanyan; dan Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Negara, Dr. Syed Harun Alhabsyi.


Tahun ini adalah giliran negara ini untuk menjadi hos kepada YLP NBD dan Republik Singapura.


Program tahunan ini telah dijalankan sejak tahun 2013.


Close