Memantapkan ajaran, penghayatan Islam di NBD



​​

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 November. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Pengembangan Da'wah dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Brunei-China telah menganjurkan Program Dialog Harmoni Kefahaman Islam bagi mengukuhkan hubungan silaturahim antara KHEU dengan Masyarakat Tionghua di negara ini serta menyalurkan maklumat yang sahih mengenai Islam melalui sumber berautoriti, Pusat Da'wah Islamiah (PDI).


Hadir pada program bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman. Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Terdahulu, Pengarah PDI, Awang Haji Abd. Rajid bin Haji Mohd. Salleh dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, Majlis Dialog Harmoni Kefahaman Islam ini diungkayahkan oleh PDI, KHEU melalui Bahagian Pengembangan Da'wah dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Brunei-China dan mengambil sukut baik bagi memperingati Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang bertemakan 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Teladan Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah'.


Menurutnya, Majlis Dialog yang dianjurkan ini juga bagi merealisasikan misi PDI iaitu menyebarluas dan memantapkan ajaran serta penghayatan ugama Islam kepada rakyat dan penduduk negara ini bagi kesejahteraan beragama dan bernegara menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah Mazhab Syafi'e.


Awang Haji Abd. Rajid seterusnya menjelaskan, hubungan kerjasama antara PDI dengan Masyarakat Tionghua di negara ini sememangnya telah pun wujud sejak sekian lama.


“Penglibatan mereka dalam sama-sama ingin mengetahui cara kehidupan orang-orang Islam di negara ini amat dikagumi, antara program yang pernah dilaksanakan secara berkolaborasi antaranya ialah Seminar Kefahaman Melayu Islam Beraja, Perjumpaan Muhibah bersama Masyarakat Tionghua, Iftar (bersungkai) Mahabbah Ramadan, Program Muhibah Da'wah, kunjungan-kunjungan muhibah ke Persatuan Tionghua, di samping beberapa program yang dianjurkan oleh Belia Muallaf Assyahadah di bawah Program Keugamaan Belia seperti Program lawatan Masjid Tour, Jelajah Muallaf yang mengetarakan nilai muafakat dan saling hormat-menghormati sesama masyarakat," ujarnya.


Sejak ditubuhkan pada tahun 1985, katanya, PDI telah menyediakan pelbagai platform dan program yang sihat, mesra dan berintegriti sebagai wadah berterusan untuk menyalurkan ilmu dan maklumat yang sangat bernilai dengan memberikan kefahaman yang nyata dan sahih mengenai ajaran Islam, khususnya dalam konteks kehidupan bermasyarakat yang majmuk. 


Beliau kemudiannya berharap, dengan Majlis Dialog seumpama ini akan mengukuhkan lagi keharmonian bermasyarakat di negara ini melalui sikap saling hormat-menghormati dan menjadi pemangkin kepada perhubungan yang lebih erat serta murni dalam kalangan masyarakat yang terdiri dari pelbagai lapisan bangsa, puak dan agama.


Program yang telah dihadiri seramai 100 orang peserta terdiri daripada Masyarakat Tionghua di Negara Brunei Darussalam (NBD) antaranya Persatuan Persahabatan Brunei-China, Persatuan Perniagaan Tionghua, Sekolah Menengah Chung Hwa, Persatuan Tokong China Brunei, Bank of China, China Enterprise Association serta beberapa organisasi tempatan lain juga turut bertujuan mendedahkan para peserta kepada nilai-nilai murni Islam yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan akhlak.


Kerjasama antara PDI dan Masyarakat Tionghua bukanlah sesuatu yang baharu. Hubungan mesra ini telah lama terjalin melalui pelbagai program seperti Seminar MIB dan Kefahaman Islam (1994), Perjumpaan Muhibbah (2013) serta Program Tahunan Iftar Mahabbah yang diadakan di Jame' Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.


Penganjuran sesi dialog ini sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memperluas kefahaman tentang Islam kepada masyarakat bukan Islam, di samping memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di bawah naungan kerajaan baginda.


Para peserta turut berpeluang melawat Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebagai sebahagian daripada pengisian program bagi memberi ruang kepada peserta untuk melihat secara dekat koleksi khazanah Islam dan warisan keagamaan yang menjadi sumber pengetahuan serta inspirasi kepada kefahaman yang lebih mendalam tentang nilai dan sejarah Islam di NBD.

Close