Tingkatkan hubungan dua hala, teroka bidang kerjasama baharu





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Ahmad / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan berangkat bagi mengalu-alukan dan menerima mengadap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong yang berada di negara ini bagi menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura kali Ke-11 bermula hari ini hingga 4 November 2025.


Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman.


Turut berangkat ialah ahli-ahli kerabat diraja.


Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura membincangkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama ke arah meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada dan mengalu-alukan penerokaan bidang-bidang kerjasama baharu.


Dalam hal ini, kedua-dua pemimpin mengesahkan komitmen untuk mengekalkan hubungan istimewa dan unik yang lama terjalin di antara kedua-dua buah negara antara lain melalui pertukaran mata wang, pertahanan dan pertukaran antara rakyat.


Turut berangkat hadir di Majlis Mengadap tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


Delegasi Republik Singapura yang hadir pada Majlis Mengadap tersebut ialah Menteri Pembangunan Negara, Tuan Yang Terutama Chee Hong Tat; Menteri Negara Kanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga Manusia, Tuan Yang Terutama Dr. Koh Poh Koon; Menteri Negara, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital dan Kementerian Pendidikan, Puan Yang Terutama Jasmin Lau; Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, Ms. Goh Hanyan; Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Negara, Dr. Syed Harun Alhabsyi; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Laurence Bay.


Turut hadir pada Majlis Mengadap berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Menteri Pengiring; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.


Selepas Majlis Mengadap, Majlis Santap Tengah Hari telah diadakan di Baiturrahmah, Istana Nurul Iman.


Berangkat sama ke Majlis Santap Tengah Hari tersebut ialah ahl-ahli kerabat diraja.


Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Tuan Yang Terutama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura telah mengadakan lawatan rasmi ke negara ini pada 11 Jun 2024 sebagai Perdana Menteri Republik Singapura Ke-4.


06 (11).jpg


07 (11).jpg


08 (9).jpg


09 (7).jpg


10 (7).jpg


11.jpg


12.jpg


13.jpg


14.jpg


15.jpg


16.jpg




Close