FestiLOL 2025 kembali meriahkan pentas komedi Brunei




Siaran Akhbar dan Foto : Jawatankuasa Penganjur FestiLOL 2025





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Oktober. - Bruhaha Comedy Productions dengan penuh semangat mengumumkan penganjuran semula FestiLOL 2025, festival komedi tempatan terbesar di Negara Brunei Darussalam yang bakal berlangsung selama 10 hari mulai Jumaat, 28 November hingga Ahad, 7 Disember 2025.


Acara tersebut akan diadakan di Terkidding's by BruHaha di Madang, MO Tea di Madang Cove, serta The Core, Universiti Brunei Darussalam (UBD). FestiLOL 2025 menjanjikan lebih daripada 10 persembahan, menampilkan lebih 30 pelawak dan beberapa bengkel khas, menyediakan pentas untuk pelawak berpengalaman, bakat baharu serta wajah-wajah segar dalam dunia komedi tempatan.


Penonton bakal disajikan dengan pelbagai bentuk hiburan termasuk komedi berdiri (stand-up), improvisasi (improv), dan persembahan variasi yang meraikan kreativiti dan jenaka unik masyarakat Brunei.


Antara barisan persembahan utama ialah pelawak terkenal Zainal Bostaman, Kevin Cheong, dan Hadi Faiz dengan persembahan khas berdurasi sejam masing-masing, serta kumpulan Tabak-It Improv. Turut memeriahkan festival ialah persembahan menarik seperti Membual You Ani; Undateable?; Minute to Win It!; Ahmad Aiman: Crowdwork Special; All-Ladies Improv Comedy show: “She Just Made It Up"; CageMatch 2: Cage Harder dan the Diary Scorpio.


Acara kemuncak festival tersebut akan diakhiri dengan acara Best of FestiLOL, persembahan penutup yang menghimpunkan detik dan aksi terbaik sepanjang festival dua minggu tersebut.


Tiket boleh didapati di laman sesawang: 'festilol.maajlis.co' dengan harga antara BND15 hingga BND25, manakala diskaun pembelian awal (early bird) akan ditawarkan untuk tempoh terhad.


Selain itu, FestiLOL 2025 turut menampilkan bengkel improvisasi komedi awam, iaitu Improv for Everyone dan Improv for Kids, yang bertujuan memupuk kreativiti dan kemahiran kerjasama dengan bayaran BND10.


Untuk maklumat lanjut mengenai pengumuman persembahan serta kandungan di sebalik tabir, orang ramai boleh mengikuti '@bruhahacomedy' di Instagram dan '@bruhaha.comedy' di TikTok.


Close