Memupuk budaya pembelajaran, memperkasa pembangunan profesional pegawai kanan



​​


Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad






BOLKIAH GARISON, Khamis, 23 Oktober. - Seramai 28 peserta kursus Program Perkembangan Eksekutif (EDP) Siri Ke-20 bagi pegawai-pegawai kanan kerajaan dalam dasar awam dan pengurusan anjuran Kementerian Pertahanan menerima sijil tamat kursus masing-masing pada Majlis Penutup Program yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Turut hadir, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB); Yang Amat Mulia Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB); Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta dari negara-negara sahabat yang menyertai; Setiausaha-setiausaha Tetap dari kementerian-kementerian; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB; wakil-wakil dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP), Universiti Nasional Singapura; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan jemputan-jemputan lain daripada agensi yang berkenaan. 


Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), Dayangku Dr. Noor Hasharina binti Pengiran Haji Hassan, dalam ucapannya pada majlis berkenaan menyampaikan gambaran keseluruhan mengenai pencapaian program berkenaan serta menekankan semula komitmen institusi untuk memupuk budaya pembelajaran berterusan dan memperkasa pembangunan profesional dalam kalangan pegawai kanan kerajaan.


Ini disusuli dengan ucapan daripada Naib Dekan Hal Ehwal Akademik merangkap Profesor Madya di LKYSPP, Profesor Suzaina Kadir, yang menekankan kepentingan ketelitian akademik dalam menghubungkan kerangka teori dengan pelaksanaan dasar awam secara praktikal.


Mewakili kumpulan peserta, Leftenan Kolonel (U) Pengiran Mohammad Ady Hafriz bin Pengiran Mohammad Yusof turut berkongsi pengalaman dan pelajaran yang diperoleh sepanjang program selama 14 minggu berkenaan.


Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga menyampaikan ucapan.


Program EDP berperanan sebagai platform penting bagi diplomasi pertahanan, yang memperkukuh hubungan dua hala serta pembelajaran kolaboratif bersama negara-negara sahabat yang turut serta.


Bagi siri kali ini, para peserta terdiri daripada Malaysia, Kesultanan Oman, Republik Filipina, Republik Singapura, Kerajaan Thailand, dan Republik Sosialis Viet Nam.


Program yang bermula pada 4 Ogos 2025 berkenaan dikendalikan oleh IPPSSHHB dengan kerjasama pakar dan tenaga pengajar dari LKYSPP.


Ia bertujuan untuk meningkatkan keupayaan peserta dalam bidang dasar awam, pentadbiran dan pengurusan melalui sesi kuliah serta lawatan ke agensi-agensi kerajaan terpilih di Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi mendalami pemahaman terhadap persekitaran strategik negara, termasuk lawatan pembelajaran ke Republik Singapura bagi pendedahan antarabangsa dalam tadbir urus dan pengurusan strategik.


Sejak pelancarannya pada 2004, EDP telah melahirkan seramai 505 graduan yang terdiri daripada pegawai kanan daripada pelbagai sektor kerajaan, yang terus menyumbang kepada pentadbiran awam dan kecemerlangan kepimpinan di NBD.


Close