Berani membentuk dasar baharu selaras dengan realiti masa kini





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad






 

BOLKIAH GARISON, Khamis, 23 Oktober. - Dalam dunia yang berubah pesat, ketidaktentuan yang semakin meningkat dan kemajuan teknologi, kepimpinan bergantung kepada penilaian dan penyesuaian berterusan dalam usaha mencapai Wawasan Brunei 2035.


Kita perlu berani membentuk dasar-dasar baharu yang selaras dengan realiti masa kini, memastikan dasar-dasar tersebut selaras sepenuhnya dengan Wawasan Brunei 2035. Dedikasi yang tidak berbelah bahagi ini merupakan teras kepada tadbir urus yang dinamik.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menyatakan perkara berkenaan semasa berucap pada Majlis Penutup Program Perkembangan Eksekutif (EDP) Siri Ke-20 bagi pegawai-pegawai kanan kerajaan dalam dasar awam dan pengurusan anjuran Kementerian Pertahanan yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, di sini.


Jelas Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II lagi, juga sama pentingnya ialah keupayaan untuk memimpin dengan kecerdasan emosi, serta keutuhan budaya dan moral, yang mencerminkan inti pati falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), dengan kepimpinan diukur bukan sahaja melalui kekuatan dan keberkesanan, tetapi juga melalui khidmat kepada negara, agama dan rakyat.


“Dengan menggabungkan wawasan, disiplin, belas kasihan dan ketahanan, para pegawai kanan tentera Brunei berada dalam kedudukan yang unik untuk mempertahankan kedaulatan negara, menegakkan kestabilan dan memajukan negara ke arah Wawasan Brunei 2035, walaupun berdepan dengan kerumitan landskap global yang sentiasa berubah," ujar Yang Berhormat.


Menurut Yang Berhormat lagi, kemajuan pesat dalam Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) pula memberi peluang untuk perancangan dan pengurusan berasaskan data, yang membolehkan kita menjalankan simulasi senario, meramalkan hasil dan merangka dasar yang lebih berkesan dengan kelajuan yang luar biasa.


Namun, tegas Yang Berhormat, adalah penting agar kita menerima integrasi berkenaan dengan rangka kerja etika yang kukuh, memastikan bahawa kemudahan tidak pernah mengatasi keadilan.


Dalam ucapannya, Yang Berhormat juga mengambil maklum akan penambahbaikan modul-modul di dalam program dan menyampaikan penghargaan kepada Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP) atas kerjasama kukuh yang berterusan dengan Kementerian Pertahanan.


Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, Program EDP berkenaan menjadi lebih daripada sekadar kursus, malah telah menjadi platform untuk merenung kembali, membayangkan semula Perkhidmatan Awam (PA), serta memberi inspirasi kepada kepimpinan yang berprinsip, strategik, dan bersedia menghadapi masa depan.


“Siri Ke-20 EDP adalah merupakan satu mercu tanda usaha ke arah membentuk kepimpinan dan pengurusan dalam PA, dan merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035," ujar Yang Berhormat lagi.


Close