Sedekah meningkatkan kesejahteraan mental



​​

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Haji Othman






BERAKAS, Isnin, 20 Oktober. - Sidang ketiga seminar sempena Majlis Ilmu 2025 yang diadakan pada sebelah petang di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) menampilkan empat ahli panel yang membentangkan kertas kerja masing-masing di bawah tema 'Kelestarian dan Transformasi Sedekah'.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada sidang ketiga berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.


Sesi berkenaan dipengerusikan oleh Penolong Profesor Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pengiran Dr. Norhazlin binti Pengiran Haji Muhammad.


Dalam pembentangan kertas kerja oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid dengan tajuk 'Impak Sedekah Terhadap Aspek Psikologi Individu dan Dimensi Sosial', beliau antara lain mengongsikan mengenai rangka konseptual yang mengaitkan sedekah dengan proses psikologi dan impak sosialnya.


Beliau menjelaskan, sintesis kajian rentas budaya menunjukkan pola peningkatan kebahagiaan dan pengurangan keresahan apabila individu memberi, menandakan isyarat yang mungkin bersifat universal dalam psikologi memberi.


Rangka berkenaan menerangkan bagaimana sedekah berpotensi meningkatkan kesejahteraan mental melalui pengurangan stres, menumbuhkan empati, memperkukuh makna diri, menenangkan jiwa dan mengaktifkan litar ganjaran otak yang menghasilkan 'warm glow'.


Pada masa sama, amalan berkenaan dijangka memperkukuh perpaduan komuniti, membina modal serta kepercayaan sosial, dan memupuk solidariti sejajar prinsip maslahah. Implikasi praktikal menawarkan panduan untuk pengamal dan pembuat dasar mengintegrasikan amalan sedekah berterusan ke dalam strategi kesejahteraan psikologi dan penguatan hubungan sosial, sekali gus menyokong pembangunan modal sosial dan kebajikan kolektif pada skala nasional, selaras prinsip maslahah.


Sementara itu, Penolong Ra'es III (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk pula menjelaskan, memupuk sifat pemurah dalam kalangan generasi muda sebagai asas pembentukan akhlak mulia yang sangat penting untuk dilaksanakan.


Menurut Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi, sifat pemurah bukan sahaja melibatkan pemberian harta, tetapi juga merangkumi masa, tenaga, ilmu, doa bahkan senyuman.


Dalam kertas kerjanya bertajuk 'Memupuk Jiwa Pemurah/Memberi Dalam Kalangan Generasi Muda', beliau turut menekankan peranan keluarga, sekolah, dan masyarakat dalam membentuk jiwa pemurah terutama dalam diri generasi muda.


Tambahnya, antara langkah yang boleh diambil ialah mendidik melalui teladan, membiasakan amalan bersedekah, menyertai program kebajikan dan mendedahkan mereka kepada kisah teladan para sahabat yang terkenal dengan kemurahan hati.


Kesimpulannya, generasi muda yang dibimbing dengan sifat pemurah akan membesar sebagai insan yang berjiwa besar, penyayang, dan mampu melahirkan masyarakat yang harmoni, penuh kasih sayang, serta dirahmati Allah Subhanahu Wata'ala.


Pembentang ketiga pula dengan kertas kerja bertajuk 'Inovasi Digital Dalam Menggerakkan Budaya Sedekah', Pemangku Penolong Pengarah Urusan 1 dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, antara lain pula menyatakan bahawa sedekah kekal relevan sepanjang zaman, namun inovasi memastikan ia terus berkembang bersama masyarakat.


Beliau juga mengongsikan platform digital seperti BIBD NEXGEN Wallet, Online, dan BizNet yang merupakan antara saluran yang lancar bagi sumbangan kebajikan, di samping derma berasaskan Kod QR (QuickPay) yang digunakan secara meluas bagi zakat fitrah dan kutipan amal.


Platform digital dan program berstruktur BIBD menghidupkan budaya memberi yang mudah, berimpak, serta sejajar dengan aspirasi negara. Dengan memudahkan cara untuk beramal, BIBD membantu komuniti berkembang sambil memupuk ketahanan dan belas kasihan jangka panjang di Negara Brunei Darussalam.


Manakala Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman, dengan kertas kerja bertajuk 'Membudayakan Amalan Sedekah Dalam Kalangan Masyarakat' pula mengongsikan sedekah dalam Islam tidak terhad kepada pemberian berbentuk harta semata-mata, tetapi turut merangkumi segala bentuk kebaikan yang dilakukan secara ikhlas demi manfaat orang lain.


Namun begitu jelasnya, dalam konteks masyarakat masa kini, budaya sedekah berhadapan dengan cabaran seperti sikap individualistik, materialistik, dan kelemahan kefahaman terhadap hikmah yang terkandung dalam amalan berkenaan.


Oleh itu, beliau menegaskan apabila hendak melaksanakan sesuatu, ia bermula dari diri kita sendiri di mana sedekah yang kekal selamanya adalah sedekah kerana Allah Subhanahu Wata'ala.


Menurut Dr. Hajah Ummi Fa'izah lagi, kita juga perlu yakin bahawa setiap apa yang kita lakukan akan digantikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan keberkahan pada rezeki, tenaga, mahupun masa yang disalurkan.


Seminar juga dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan dan sektor swasta, ahli akademik, penyelidik, guru-guru, ahli takmir dan Muslimah Masjid, para belia, mahasiswa dan mahasiswi, pelajar-pelajar serta masyarakat umum.


Close